KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai
supaya memastikan aspek keselamatan elektrik terjamin ketika membuat
persiapan menyambut Aidilfitri.
Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi) TNB, Datuk Ir
Mohd Aminuddin Mohd Amin, berkata orang ramai disaran mengambil langkah
pencegahan ketika menggunakan peralatan elektrik di rumah bagi mengelak
sebarang kejadian tidak diingini.
"Saya sarankan pengguna tidak membebankan soket dengan menggunakan
adapter elektrik secara berlebihan bagi mengelak bebanan elektrik yang
tinggi sehingga menyebabkan gangguan bekalan.
"Sekiranya pendawaian elektrik tambahan perlu dilakukan, jangan membuat
sambungan sendiri, sebaliknya dapatkan khidmat kontraktor elektrik yang
berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga," katanya dalam satu kenyataan,
hari ini.
Mohd Aminuddin berkata, jika pengguna memerlukan wayar sambungan tambahan, mereka perlu menjauhkannya dari kawasan berair.
Beliau turut menggalakkan pengguna mengamalkan langkah pencegahan
dengan tidak mengubahsuai peralatan elektrik, tidak memasang suis dengan
tangan yang basah dan sentiasa memastikan peralatan elektrik dalam
keadaan yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan