Oleh Muhammad Asyraf Azlan
SHAH ALAM: Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mukhriz Mahathir
daripada Umno dijangka tidak akan memberi kesan kepada parti itu,
demikian menurut penganalisis politik Edwin Michael.
Ujarnya keputusan Umno itu selepas mengambil kira tindakan bekas
Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Kedah tidak
mendatangkan kepentingan kepada parti.
Malah keterlibatan kedua-duanya dilihat semakin pudar, lebih-lebih lagi
pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru
ini.
"Impaknya kepada Umno tidak ada sebab bila kita lihat di PRK, kedua-dua
individu ini (Muhyiddin dan Mukhriz) tidak terlibat, mereka tidak
tolong membantu jentera pilihan raya BN, tidak ada apa-apa manfaat yang
diberikan mereka kepada Umno.
"Jadi dalam konteks ini mungkin itu sudah menjadikan ahli Umno bersifat
seolah-olah seperti sudah tidak ada lagi perasaan dan nilai terhadap
kedua-dua pemimpin mereka ini kepada Umno.
"Saya rasa mereka tidak akan memberikan sebarang kesan maksimum kepada
Umno secara amnya tetapi di peringkat negeri mungkin akan memberikan
kesan terutamanya di Johor tetapi (Mukhriz) di Kedah saya tidak nampak
mempunyai pengaruh yang kuat di sana," katanya kepada Antarapos.
Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat memutuskan memecat Muhyiddin dan
Mukhriz manakala Shafie pula digangung keahliannya sehingga laporan
daripada Jawatankuasa Disiplin diperolehi.
Ketiga-tiga mereka disabit kesalahan melanggar disiplin parti apabila mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan parti.
Mereka juga dilihat sering menghadiri program anjuran pembangkang yang tentunya menjadikan Umno sebagai sasaran kritikan.
Tambah Edwin lagi, tindak-tanduk kedua-dua mereka menjadi pemerhatian
selain Umno telah memberikan masa yang panjang untuk kembali kepada
parti.
"Saya lihat Umno memberikan peluang yang banyak kepada mereka sebab itu
Umno seperti tunggu dan lihat sebelum mengambil apa-apa keputusan sebab
itu tempoh yang sangat lama.
"Mereka (Umno) lihat apa sebenarnya dibuat oleh Muhyiddn dan Mukhriz
khususnya samada mereka akan terus menentang atau bersikap mendiamkan
diri seperti Shafie Apdal," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan