Datuk Seri Azalina Othman Said
SHAH ALAM - Susulan daripada pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Umno, Ahli Parlimen Pagoh itu kini, bukan lagi dianggap ahli parlimen yang mewakili BN, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sri Azalina Othman Said.
Katanya, keputusan itu berdasarkan amalan dan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
"KedudukanTan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat akan ditentukan selepas Ketua Whip BN memaklumkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat.
"Sebarang perubahan yang akan berlaku pada status Ahli Parlimen Pagoh tidak akan menjejaskan kedudukan BN sebagai parti pemerintah kerana masih memperoleh majoriti di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Muhyiddin, Mukhriz dipecat, Shafie digantung jawatan]
Semalam, Majlis Tertinggi Umno memutuskan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dipecat daripada Umno berkuat kuasa serta merta.
Sementara Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal digantung dari jawatannya.
Semalam, presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana mendapati mereka melakukan kesalahan serius.
Muhyiddin digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.
Ia disusuli dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno yang digantung bermula 26 Februari lalu sehingga pemilihan parti akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan