HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Jun 2016

PAS tak kecil hati tiada pemimpin kanan PKR hadir muktamar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PENGKALAN CHEPA: PAS tidak berkecil hati meskipun tiada pimpinan kanan PKR hadir di Muktamar Tahunan PAS Kali ke-62, demikian menurut Timbalan Ketua Ulamanya, Datuk Nik Zawawi Mohamad Salleh.
 
Beliau berkata jemputan sudah diberikan kepada pimpinan kanan PKR, dan dihantar ke ibu pejabat parti itu.
 
"Wallahualam, itu cerita mereka. Nak hantar siapa, terpulang bagi mereka 
 
"Kita jemput mereka untuk hadir. Mereka nak hadir, boleh hadir. Mereka tak hadir, tak hadir. Kita tiada apa-apa masalah. 
 
"Hadir atau tidak, tetap sama. Jika hadir, kita ucap terima kasih," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Terdahulu kehadiran hanya seorang ADUN sebagai wakil daripada PKR pada muktamar pusat pada hari ini mencetuskan sedikit tanda tanya khususnya membabitkan hubungan di antara kedua-dua parti berkenaan.
 
PKR hanya menghantar ADUN tunggalnya di Kelantan, iaitu ADUN Guchil, Mohamad Roslan Puteh pada perasmian muktamar pagi tadi.
 
Keadaan tersebut dilihat sedikit janggal kerana pada muktamar-muktamar PAS sebelum ini, PKR akan menghantar sekurang-kurangnya seorang pemimpin kanannya sebagai wakil parti.
 
Kebelakangan ini, timbul dakwaan hubungan PAS dan PKR menampakkan sedikit keberantakan susulan krisis peletakan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
PAS kekal meletakkan calon di dua kerusi yang menjadi tradisi parti itu, sementara tindakan Pakatan Harapan (PH) merumitkan lagi hubungan di antara dua parti itu, terutamanya dalam konteks kerajaan negeri Selangor.
 
"Kita jemput secara umum, mungkin mereka sibuk dengan PRK, tidak apalah," kata Nik Zawawi lagi.
 
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin memberi alasan kegagalan pemimpin kanan partinya hadir ke perasmian muktamar PAS pagi tadi kerana sibuk dengan komitmen dua PRK yang diadakan secara serentak itu.
 
 

Tiada ulasan: