Semua tertuduh terdiri daripada 16 lelaki dan empat
wanita berusia di antara 23 hingga 65 tahun, mengaku bersalah atas
pertuduhan masing-masing.
ALOR GAJAH: Seramai 20 pengguna jalan raya didenda antara RM1,000 dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di lorong kecemasan pada Mei lepas.
Majistret Nor Azizah Yusof menjatuhkan hukuman itu setelah semua tertuduh, yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat wanita berusia di antara 23 hingga 65 tahun, mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.
Seramai enam tertuduh didenda RM1,000, seramai 11 tertuduh didenda RM1,500 dan tiga lagi didenda RM2,000.
Sekiranya gagal membayar denda itu, seramai 19 tertuduh berdepan penjara sebulan manakala seorang tertuduh yang didenda RM2,000 boleh dipenjara dua bulan.
Semua tertuduh didakwa sebagai pemandu menggunakan kenderaan di atas jalan raya dengan memandu di lorong kecemasan di KM222 Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada 5 petang, 22 Mei lepas.
Mereka dituduh mengikut Kaedah 53(1) Kaedah Lalulintas Jalan Raya 1959 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Nor Azizah berkata faktor kepentingan awam perlu diambil kira dalam menjatuhkan hukuman bagi kes itu kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa kemalangan malah pengguna jalan raya lain.
“Jika semua tidak guna lorong kecemasan, bantuan sampai cepat…malah, kenderaan yang terlibat kemalangan boleh dialihkan dengan cepat seterusnya kesesakan lalu lintas dapat diselesaikan segera.
“Tindakan sesetengah orang sebabkan bantuan lambat tiba…fikirkan orang yang betul-betul perlukan (bantuan). Fikir nak cepat sahaja…kalau jadi keluarga mangsa, tentu kamu marah,” katanya.
Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan Nur Azmina Jacqueline Abdullah, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan pemandu menggunakan lorong kecemasan sehingga menyebabkan ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan di KM228 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara berhampiran Hentian Pedas-Linggi mengakibatkan kematian dua beradik yang menunggang motosikal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan