Bernama
Bank Negara Malaysia melantik Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour
sebagai Timbalan Gabenor untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 16 Julai,
2016.
"Sebagai timbalan gabenor Abdul Rasheed akan bertanggungjawab ke atas
pengawalseliaan dan pembangunan sektor kewangan, termasuk sistem
pembayaran serta pengurusan rizab antarabangsa dan operasi pasaran wang
dan pentadbiran pertukaran asing," kata bank pusat itu dalam satu
kenyataan.
Dengan pelantikan beliau, Bank Negara Malaysia kini mempunyai tiga
timbalan gabenor seperti yang diperuntukkan oleh Akta Bank Negara
Malaysia 2009.
Dua timbalan gabenor lain ialah Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan Dr Sukudhew Singh.
Abdul Rasheed kini bertugas sebagai penolong gabenor yang
bertanggungjawab ke atas sektor Dasar Monetari dan Ekonomi, yang terdiri
daripada Jabatan Dasar Monetari, Jabatan Ekonomi, Jabatan Antarabangsa
dan Jabatan Perkhidmatan Statistik Bank Negara.
Beliau ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Bank dan ahli jawatankuasa
bagi beberapa jawatankuasa dasar iaitu Jawatankuasa Dasar Monetari,
Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.
Abdul Rasheed telah berkhidmat di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)
Washington D C sebagai Pengarah Eksekutif Silih Ganti di Pejabat
Kumpulan Asia Tenggara dalam Lembaga Eksekutif IMF.
Beliau memain peranan utama dalam pembangunan dan kejayaan pelaksanaan
Pelan Induk Sektor Kewangan (2001-2010) dan perumusan Pelan Sektor
Kewangan (2011-2020).
Abdul Rasheed yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari
Universiti Malaya, memulakan kerjaya di Bank Negara pada 1988, dan
beliau terlibat dalam inisiatif kerjasama serantau semasa Malaysia
menjadi Pengerusi Asean.
Ini termasuk persetujuan Ringkasan Pencapaian Integrasi Kewangan
Asean dan pembangunan Pelan-Pasca 2015 Integrasi Kewangan Asean.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan