MALAYSIAKINI
Tidak banyak yang dapat dinukilkan pada malam-malam penghujung
Ramadan kali ini. Pada bulan paling mulia, apakah yang lebih baik selain
melakukan amalan-amalan mulia juga, kan?
Sudah entah berapa hari hujan tidak meramahi kita di kota raya ini.
Panas dan berbahang, waima ketika malam. Putaran kipas biasanya hanya
menerbangkan udara-udara panas yang tidak memberikan lebih keselesaan.
Hanya penyaman udara yang dapat menyejukkan suasana.
Untuk ketika ini saya jadi teragak-agak untuk menulis secara santai
sambil berjenaka. Bukanlah kerana panas dan bahang itu, sebaliknya
sengaja mahu mengelak anda terasa lucu atau melihat saya berjenaka.
Maka saya berazam untuk membuat catatan ini dengan serius. Tiada basa basi, tiada komedi.
Ini bulan mulia, justeru tidak ada yang lebih mulia untuk dibuat
kecuali perkara-perkara baik, terpuji, dan mulia juga. Tidak kurang
pentingnya, kita jangan menulis atau bercakap sesuatu yang boleh
menyakitkan hati (atau mata) walaupun pada aplikasi WhatsApp.
Berjenaka atau bergurau juga seeloknya dielakkan. Jangan sebut
ungkapan "pencuri", misalnya. Selain boleh mengundang rasa sakit hati,
kita juga mungkin dibenci. Segala-galanya pada bulan mulia ini harus
serius, terkawal dan tidak menyakitkan mata dan hati.
Sujud dan tegak lagi
Maka kerana itulah semua kita wajib mengelakkan perbuatan sia-sia.
Sepanjang tempoh 10 malam terakhir Ramadan kita intai-intai akan
kedatangan lailatulqadar. Malam yang menyamai rahmat seribu bulan.
Mengikut riwayat sesetengah orang pada malam terpilih itu akan
berlaku perkara-perkara aneh, juga kejadian-kejadian tidak tercapai
akal.
Misalnya air tiba-tiba bagaikan membeku. Namun versi lebih popular
ialah pokok-pokok akan sujud untuk seketika sebelum kembali tegak
seolah-olah tiada apa yang berlaku sebelum itu.
Bagaimana pokok atau tumbuh-tumbuhan boleh sujud, tiadalah saya tahu
akan perihalnya kerana tidak pernah menyaksikan detik itu secara real.
Detik lailatulqadar itu sendiri saya tidak pasti bilakah hadirnya.
Tetapi kita ini di Malaysia, tuan-tuan. Negara paling bertuah dan
gemilang. Saya bukan berjenaka.
Sungguh. Maka tuan-tuan janganlah ketawa
kerana saya bimbang juga kalau itu terjadi ia hanya mengundang masalah
apabila ada orang mengadukan kata-kata saya ini kepada polis.
Seperti saya nyatakan tadi, Malaysia ini teramatlah bertuah dan
gemilang. Banyak benar keistimewaan yang hanya berlaku di tanah bertuah
ini.
Tak tercapai akal
Justeru anda janganlah terkejut apabila saya katakan Jumaat lalulah
mungkin waktu istimewa itu. Detik apabila peristiwa aneh,
kejadian-kejadian tidak tercapai akal berlaku.
Cuma itulah, hanya hati dan jiwa yang tenang akan melihatnya.
Jumaat lalu - pada siangnya - terjadi kejadian aneh itu. Ya, tuan-tuan, saya ulang: Siang, bukan malam.
Pada siang itulah detik istimewa dan tak tercapai akal berlaku.
Bukanlah pokok-pokok di sepanjang jalan-jalan kota raya membongkok atau
sujud, malah sebaliknya ia lebih aneh.
Ia detik 'purnama' yang mengambang sejak sekian lama tiba-tiba sujud
di atas tanah. Lebih menjadikan ia unik, sujud itu adalah yang abadi,
langsung tidak bangkit-bangkit lagi selepas itu.
Asalnya dari 'puncak', 'purnama' itu menjadi puing-puing berselerakan
dan bungkam di atas tanah.
Disebabkan ia hampir-hampir seperti detik
lailatulqadar, sujudnya arca itu berlaku pada waktu yang tiba-tiba dan
penuh rahsia.
Mimpi luar biasa
Selepas itu berlakulah pula siri kejadian-kejadian aneh lain. Ia bagaikan rantaian panjang yang misteri.
Dengan 'sujud' itu ada mata yang sebelum ini dijangkiti penyakit
kemudian menjadi kian kebah.
Sekumpulan seniman pula tidurnya semakin
lena kerana didatangi mimpi begitu ular biasa. Er, maksud saya, luar
biasa.
Nyaris saja mereka membuka kelas-kelas ceramah motivasi untuk
berkongsi pengalaman amat langka itu serta mengajarkan kaedah mencari
mimpi luar biasa berkenaan kepada sesiapa yang berminat.
(Ada juga yang mencadangkan dibuat ritual menyeluk tangan ke mulut singa, namun khabarnya ia belum dilaksanakan setakat ini.)
Sekali lagi, ia bukan aneh langsung. Seperti kata orang dulu-dulu
ketika detik istimewa begitu berlaku manusia biasanya akan mengalami
rasa kantuk yang amat sangat. Kantuk lebih dari biasa.
Justeru memang biasalah ramai manusia akan lena ketika sang 'purnama' sujud ranap ke tanah.
Sungguh tuan-tuan, saya tidak berjenaka dengan cerita ini kerana
orang yang membuat lawak dan komedi sekarang mungkin boleh disiasat
mengikut Akta Sakit Hati.
Maklumlah, Aidilfitri pula sangat hampir. Untuk apa saya berjenaka
dan merisikokan masa depan, kan? Bukankah seperti arca dan kartun, lawak
jenaka juga kini adalah musuh negara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan