"Balai polis bakal menjadi sasaran IS seterusnya !"
Demikian pendedahan dibuat Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun kepada China Press, semalam.
Beliau berkata, sejak berlakunya beberapa kes ancaman jenayah di balai polis di seluruh negara, biarpun buat masa ini belum disahkan kesemua kes berkenaan mempunyai kaitan dengan IS, namun balai polis sememangnya menjadi sasaran untuk IS melakukan serangan.
"Selain itu, maklumat yang diperoleh polis menunjukkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Bukit Aman Senior Asisten Komisioner, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan saya sendiri antara pegawai polis tertinggi yang turut menjadi sasaran serangan oleh IS," katanya.
Mohamad Fuzi berkata, pihak polis sentiasa mengambil serius ugutan dan ancaman yang dibuat oleh IS.
Sehingga hari ini, pihak polis telah berjaya mematahkan sembilan plot yang menyasarkan institusi tertentu dan kawasan awam dan memberkas 213 orang termasuk 27 warga asing.
Kegiatan ah long makin berleluasa
Ketika banyak bank dan institusi kewangan sukar menyediakan pinjaman wang, ramai orang tidak ada pilihan lain kecuali terpaksa mendapatkan pinjaman daripada ah long.
Bagi mereka, ah long mudah memberikan pinjaman wang kepada mereka. Walaupun menyedari faedah yang dikenakan amat tinggi, namun disebabkan kesempitan wang, mereka sanggup berurusan dengan ah long sama untuk tujuan perniagaan ataupun judi.
Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sejak pertandingan bola sepak Euro bermula pada 11 Jun lalu, pejabatnya telah menerima 40 kes aduan orang ramai mengenai ancaman daripada ah long.
"Kebanyakan pengadu-pengadu yang kami temui adalah terdiri daripada kaki judi bola. Mereka bertaruh banyak wang libatkan ratusan ribu ringgit dalam pertandingan bola sepak Euro yang baru berakhir Ahad lepas.
"Selepas meminjam wang daripada ah long dan kalah dalam judi bola, akhirnya mereka datang mengadu kepada pejabat kami kerana kerap kali diganggu ah long setelah tidak mampu menjelaskan hutang," kata beliau.
Peminjam ah long ini, kata Chong, sedar mereka sebenarnya melakukan pinjaman secara haram. Oleh itu, ramai antara mereka tidak berani membuat laporan kepada polis sebaliknya cuba meminjam duit dengan saudara-mara untuk membayar kepada ah long.
"Masalah ah long ini sentiasa wujud sampai hari ini. Mangsa-mangsa terlibat ataupun ahli keluarganya perlu segera membuat laporan polis supaya polis dapat menjalankan siasatan dengan segera," katanya.
Belia Cina diminta jadi polis
Bekas Ketua Polis Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Superintendan Lai Fah Hin meminta golongan belia Cina menyertai bidang kepolisan sebagai salah satu usaha untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara.
Fah Hin yang telah berada dalam perkhidmatan polis selama 39 tahun berkata, menjadi anggota polis adalah tugas yang berat dan mencabar, namun ia adalah perkhidmatan yang mulai kerana mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan.
"Ramai ibu bapa tidak mahu anak mereka jadi anggota polis kerana bimbang tidak mempunyai masa depan dan nyawa sentiasa diancam bahaya.
"Bagaimana pun, kebajikan yang disediakan dalam perkhidmatan polis kini semakin baik. Selain penyelarasan gaji yang tinggi, banyak latihan turut diberikan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan polis.
"Seseorang anggota polis sama ada ketika cuti, penginapan, sakit, cedera mahupun kematian turut dapat menikmati faedah dan kebajikan yang banyak. Karier sebagai anggota polis sepatutnya dipertimbangkan oleh kalangan belia Cina," katanya yang bersara tidak berapa lama dulu.
Beliau berkata, bagi individu yang gemar menerima cabaran, karier sebagai anggota polis adalah paling sesuai bagi mereka.
"Ini kerana setiap hari mereka akan menghadapi kes dan situasi yang berlainan. Mereka perlu cekap dan bertindak dengan cepat. Ia turut menguji ketahanan mental dan fizikal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan