HALAMAN SANTAI

Selasa, 5 Julai 2016

'Bukan polis halang majlis buka puasa antara agama'

Koh Jun Lin


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan bahawa laporan polis dibuat terhadap majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh sebuah gereja yang dijadualkan pada Jumaat lalu.

Katanya, walaupun jika ada laporan berkenaan, polis tidak akan menghentikan acara itu.

Beliau melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan ada yang menyamar sebagai anggota polis bagi mengelirukan pihak Gereja Assumption supaya membatalkan acara itu dan mempersalhakan pihak berkuasa.

"Saya tidak tahu siapa anggota polis itu. Saya tidak dapat sahkan bahawa ada anggota polis yang pergi dan menasihati mereka (untuk membatalkan acara). Kononnya ada seorang anggota polis beragama Islam dan seorang lagi yang beragama Kristian pergi ke gereja itu dan menasihatkan mereka supaya membatalkan acara itu.


"Saya telah semak dengan polis Selangor. Kami tidak pernah menghantar sebarang anggota polis ke sana, jadi saya tidak tahu apa yang berlaku. Jadi, melainkan gereja boleh beritahu saya siapa mereka, saya tidak mampu untuk mengulas.

"Dan tidak ada laporan yang dibuat. Saya bimbang ada yang hanya membuat cerita mengatakan terdapat laporan polis, kemudian ke gereja, beritahu (mereka) sesuatu dan gereja membatalkannya,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, aktivis Syed Azmi Alhabshee mendakwa bahawa terdapat dua anggota polis yang melawat gereja itu dan menjelaskan bahawa laporan polis telah dibuat terhadap acara berkenaan dan kemungkinan ada kumpulan atau individu yang mahu menimbulkan masalah.

Acara itu dianjurkan dengan tujuan mempromosi hubungan baik antara umat Islam dan Kristian di negara ini.

Berikutan itu, gereja memutuskan untuk membatalkan acara tersebut.

Walaupun dibatalkan, namun acara itu masih diteruskan dengan jumlah hadirin yang kecil.

Menurut seorang peserta Joycelyn Lee, kira-kira 15 orang berbuka puasa di gereja pada Jumaat lalu.

Pihak penganjur juga meminta orang ramai supaya datang dan mengambil makanan memandangkan ia  telah ditempah.



Tiada ulasan: