HALAMAN SANTAI

Ahad, 17 Julai 2016

Gani Patail nafi terbabit penubuhan parti baru

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menafikan bahawa namanya disenari sebagai ahli dalam parti baru yang bakal ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Pengeluaran senarai nama individu yang dikatakan terlibat dalan penubuhan parti baharu itu baru-baru ini adalah palsu dan satu pembohongan.
 
"Saya tidak pernah terlibat dan tidak akan terlibat dalam politik. Saya sememangnya dan akan sentiasa menjadi seorang profesional," kata Abdul Gani yang dipetik Bernama.
 
Senarai barisan kepemimpinan tertinggi parti baru itu menjadi viral melalui media sosial termasuk Facebook dan Twitter semalam.
 
Antara pemimpin lain yang terlibat dalam kepemimpinan tertinggi parti politik baru itu adalah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai presiden manakala bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai timbalannya.
 
Sementara naib presiden terdiri daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
 
Bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz turut dinamakan sebagai bendahari dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memegang jawatan setiausaha agung.
 
Abdul Gani disenaraikan sebagai ahli Majlis Tertinggi, yang turut dibarisi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar; bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.
 
Selain Abdul Gani, beberapa pemimpin lain termasuk Abdul Wahid, Ibrahim, Rafidah dan Khairuddin dilapor turut menafikan pembabitan mereka dalam parti itu dengan menyifatkan penyenaraian nama mereka sebagai sesuatu yang karut, palsu dan mungkin dilakukan oleh pihak tertentu yang kurang bijak serta berhati jahat.
 
Pada Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan satu pakatan pembangkang yang melibatkan sebuah parti baru, PKR, DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 akan datang

Tiada ulasan: