Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPMKL) Kuala Lumpur menyelamatkan aset bernilai RM149 juta dalam kes kebakaran membabitkan bangunan dan harta benda sepanjang tahun 2015.
Pengarah JBPMKL Khiruddin Drahman berkata, dalam tempoh sama, sebanyak RM50.4 juta kerugian direkodkan membabitkan kebakaran harta benda dan bangunan yang tidak sempat diselamatkan.
Jumlah kerugian itu menurun berbanding statistik 2014 yang mencatatkan RM60.9 juta kerugian manakala jumlah aset yang dapat diselamatkan sebanyak RM59.5 juta untuk tempoh itu (2014).
"Jumlah kebakaran sepanjang 2015 ialah 1,630 kes dan jumlah panggilan khidmat khas sebanyak 1,902.
Pada tahun sebelumnya, terdapat sebanyak 2,071 kes dengan jumlah panggilan khidmat khas sebanyak 1,654.
"Secara keseluruhannya, kebakaran di sekitar Kuala Lumpur ini mencatatkan penurunan. Ini memberi cabaran kepada jabatan supaya sentiasa bersiap sedia serta memberi respons pantas supaya kehilangan nyawa dan harta benda dapat dikurangkan," katanya.
Khiruddin berkata, antara punca kebakaran ialah kegagalan pendawaian elektrik, kesan geseran, tindak balas spontan, letupan, kegagalan fungsi peralatan elektrik, permukaan bahan berhaba tinggi dan tindak balas kimia.
Kata beliau, antara jenis perkhidmatan khas yang paling banyak diberikan bomba pada tahun lalu ialah terkandas dalam lif, ambil mayat, kemalangan jalan raya, panggilan mencari dan menyelamat serta bencana alam. - MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan