Bernama
Johor mencatatkan 12 kematian akibat demam denggi setakat 2 Julai tahun ini berbanding 11 kes dalam tempoh sama, tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub
Rahmat berkata jumlah kematian itu termasuk satu kes terbaru dicatat
pada minggu ke-26 melibatkan seorang wanita berusia 27 tahun.
"Pada minggu ke-26, sebanyak 165 kes demam denggi dilaporkan dan
bilangan ini adalah meningkat sebanyak 1.2 peratus berbanding minggu
sebelumnya iaitu hanya 163 kes," katanya ketika dihubungi di Johor Bahru
hari ini.
Beliau berkata antara daerah yang menyumbang kes denggi tertinggi
ialah Johor Bahru yang merangkumi 80.6 peratus daripada jumlah
keseluruhan kes, diikuti Kota Tinggi (5.5 peratus), Kulai dan Muar
masing-masing tiga peratus.
"Di daerah Tangkak dan Pontian pula, tiada kes denggi dilaporkan," katanya.
Bagaimanapun, pihaknya telah mengesan sebanyak 19 lokaliti wabak baru berlaku di Johor Bahru dan Muar pada minggu terbabit.
"Tindakan yang dilakukan untuk mencegah dan mengawal wabak ini ialah
dengan menyembur ubat pencegahan di kawasan berpotensi denggi.
"Selain itu, kami turut melaksanakan penguatkuasaan dengan
mengeluarkan kompaun dan notis kepada premis yang mempunyai potensi
nyamuk aedes.
"Setakat ini, sebanyak 287 notis di bawah Seksyen 5 Akta Pemusnahan
Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) dikeluarkan ke atas
premis-premis terlibat," katanya.
Menjelang perayaan Aidilfitri, beliau turut mengingatkan pentadbiran
di setiap sekolah supaya membuat pemeriksaan secara berkala di kawasan
sekitarnya.
"Jabatan Kesihatan Johor juga telah mengedar risalah di plaza tol,
stesen minyak, syarikat surat khabar dan pihak berkuasa tempatan dan
mengagih 2,378 kg abate - sejenis pembunuh jentik-jentik - kepada
sekolah-sekolah, klinik-klinik dan sebagainya.
"Masyarakat boleh mengambil bekalan abate di klinik-klinik yang berhampiran," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan