MALAYSIAKINI
Bekas pemimpin Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempertikaikan
Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dan presiden parti itu Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang didakwa mempunyai 'pendirian celaru' dalam melawan
rasuah di negara ini.
Ia berikutan kenyataan Haron yang menggesa supaya Ketua Menteri Pulau
Pinang Lim Guan Eng bercuti sehingga siasatan berhubung dakwaan rasuah
terhadapnya selesai.
Beliau berkata, kedua-dua pemimpin itu sepatutnya bersikap lebih 'gentleman' dengan
meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan perkara sama
ekoran dakwaan terlibat dengan skandal 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion.
"Kenapa Haron Din nasihat ketua menteri Pulau Pinang sahaja untuk
berbuat demikian? Mengapa Haron Din tidak berani nasihat Najib juga
untuk berbuat demikian.
"Apa pendirian Haron Din dalam kes skandal kewangan Najib? Mengapa Haron Din dan Hadi Awang diam seribu bahasa?
"Haron Din dan Hadi selaku ulama jangan ambil pendekatan berat
sebelah. Jangan jadi gajah depan mata tak nampak, tetapi kuman di
seberang laut mereka nampak," katanya dalam kenyataan medianya hari ini.
Sehubungan itu, Khairuddin menasihatkan Haron dan Hadi selaku seorang
ulama agar tidak mengamalkan sikap pilih kasih dan bercakap perkara
yang benar.
"Dalam Islam tak boleh ada unsur pilih kasih. Segalanya mestilah
berteraskan kepada kebenaran. Ulama mesti bercakap yang benar. Jangan
amalkan sikap pilih kasih," katanya lagi.
Akhbar Mingguan Malaysia hari ini melaporkan, Haron Din meminta Guan Eng menjadi seorang 'gentleman' dengan mengambil cuti atau meletakkan jawatan sebagai ketua menteri selepas didakwa di bawah Akta Pencegahan Rasuah.
Khamis lalu, Guan Eng didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan
Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada
pertanian kepada kegunaan komersial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan