Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
PETALING JAYA: Kewujudan Amanah dalam politik pembangkang tidak dapat
dinafikan lebih-lebih lagi dalam pentadbiran kerajaan Selangor, kata
penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar.
Ujarnya, perkembangan itu tentunya menjadi cabaran kepada Menteri Besar
Selangor, Datuk Seri Azmin Ali untuk memastikan kewujudan Amanah tidak
mengecilkan hati PAS yang kini sebahagian daripada kerajaan negeri itu.
PAS dan Amanah diketahui umum berseteru dan kedua-duanya hampir tidak
punya titik persefahaman sejak parti yang dipimpin Mohamad Sabu itu
diwujudkan akhir tahun lalu.
Justeru Azmin perlu mencari formula baru yang bersesuaian dalam mengharmonikan kerjasama PKR-DAP-Amanah dan PAS.
"Bermakna pada Azmin ada masalah baru, tak boleh nak ketepikan PAN
(Amanah), begitu juga beliau kena jaga PAS sebab ia sebahagian daripada
kerajaan.
"Mungkin hanya Azmin yang boleh selesaikan masalah. Beliau terpaksa cuba cari satu formula yang boleh mendamaikan keadaan.
"Yang mana semua parti setuju dengan peraturan asas, setuju untuk tidak
bersetuju, boleh bekerjasama dalam pilihan raya, sekurang-kurangnya
dengan pertandingan satu lawan satu," katanya dalam temubual bersama
Antarapos, baru-baru ini.
Chandra mengulas suasana politik pembangkang masa kini yang menyaksikan
ia terbahagi kepada dua blok, iaitu Pakatan Harapan (PH) gabungan
antara PKR, DAP dan Amanah; dan Blok Ketiga pula di antara PAS dan Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).
Kehadiran Amanah tidak dinafikan mencetuskan sedikit kekacauan dalam
politik pembangkang berikutan parti itu berpatah arang berkerat rotan
dengan PAS.
Begitu juga dengan PAS. Sensitiviti PAS itu tidak boleh dipandang
ringan oleh PKR sementelah parti itu punya kekuatan tersendiri selain
memiliki jumlah kerusi yang banyak dalam kerajaan negeri.
Lebih mengharukan, PAS bukan sahaja dingin dengan Amanah bahkan turut
tidak sebulu dengan DAP jika melibatkan urusan pentadbiran selain
Selangor.
"Kita harus melihat isu ini dari segi kerajaan Selangor. Pada MB
Selangor, tidak ada pilihan kerana bergantung kepada PAS dan DAP
walaupun dalam gelanggang politik mereka sudah berpecah. Isi PAS dan DAP
tak dapat diselesaikan selagi isu hudud dan sikap DAP kepada Islam
wujud.
"Dalam konteks kerajaan negeri, MB memerlukan dua parti politik ini.
Jika DAP undur, ada kesannya kepada kerajaan negeri, begitu juga dengan
PAS. itulah dilema yang dihadapi Azmin," ujar Chandra yang juga
merupakan bekas Timbalan Presiden PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan