KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim
menyatakan keraguannya terhadap pakatan pembangkang baru di mana ia
turut melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, gabungan cadangan itu yang terdiri daripada PKR, DAP,
Amanah dan sebuah parti baru yang belum dinamakan, tidak mempunyai
prinsip atau perjuangan jelas sebaliknya hanya mahu menggulingkan
golongan tertentu dalam kerajaan.
"Mereka tidak boleh menyelesaikan masalah yang mereka hadapi melalui
cara ini. Ini kerana Amanah tidak ada ketetapan pendirian, PKR juga dan
DAP juga mempunyai hala tuju yang mungkin ada samanya, tetapi lebih
kepada tidak banyak persamaan," katanya dipetik The Star ketika ditemui
pada majlis rumah terbuka Hari Raya, Ahad.
Khalid berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh bekas perdana
menteri dan presiden Umno tentang rancangan untuk menubuhkan parti baru
yang akan bekerjasama dengan PKR, DAP, Amanah, pertubuhan bukan kerajaan
dan individu di bawah pakatan pembangkang untuk menjatuhkan Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.
Ahli Parlimen bebas Bandar Tun Razak ini berkata, gabungan itu setakat
ini tidak menyediakan satu rangka kerja yang jelas bagi rakyat dan
penubuhannya hanya dibincangkan antara pemimpin untuk kepentingan pihak
tertentu.
"Mereka hanya berbincang dalam kumpulan mereka tentang bagaimana untuk menjatuhkan orang-orang tertentu.
"Tidak ada usaha yang jelas untuk menentukan rancangan mereka jika mereka berjaya mencapai sasaran.
"Saya rasa mereka tidak harmoni. Saya berharap trend politik ini boleh
dikurangkan kerana rakyat sudah letih dengan perkembangan politik yang
tidak berkesudahan," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan menyertai gabungan itu, Khalid berkata ia
tidak mungkin kerana kerjaya politiknya telah berakhir selepas beliau
memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan