HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Julai 2016

Kita mampu mengubahnya



Oleh PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON


 
 
SAMBUTAN Aidilfitri 2016 hampir menjelang tiba dan apabila disebut tentang musim perayaan sudah tentu masyarakat tidak lekang memperkatakan mengenai kemalangan jalan raya dan statistiknya.

Pelbagai tagline dipaparkan semata-mata mahu menyedarkan pemandu-pemandu kita tetapi semuanya itu hanya dipandang sebagai penyeri iklan dan bukan sebagai ingatan serta panduan. Lihat sahaja musim perayaan yang lalu boleh dikatakan setiap hari di dada-dada akhbar dan media elektronik memaparkan berita tragedi kemalangan. Paling menyedihkan ada di antaranya melibatkan kemalangan maut.

Oleh itu, tidak hairanlah statistik kemalangan di negara ini terus menunjukkan peningkatan hingga membuatkan kita menarik nafas panjang dan menggeleng-gelengkan kepala sambil berfikir bilakah saatnya masyarakat Malaysia dapat mengubah sikap mereka ketika memandu di jalan raya.

Semakin diadakan pelbagai operasi, kempen, peringatan, panduan, promosi pemanduan berhemah, amanat dan kata-kata semangat agar setiap pemandu sentiasa berhati-hati di jalan raya semakin `hebat’ pemandu negara kita memecut di jalan raya menuju ke destinasi.

Slogan ingatlah orang tersayang hanya mainan di bibir sahaja. Slogan itu langsung tidak menjengah minda dan hati sebahagian daripada pemandu-pemandu kita. Tidak terkecuali penunggang-penunggang motosikal khususnya yang berkuasa tinggi.

Pelbagai formula telah dicari, dibincangkan serta dicanangkan supaya pemandu-pemandu lebih berhati-hati di jalan raya tetapi sebahagian daripada mereka seolah-olah tidak nampak dan tidak mendengar. Apa yang difikirkan, jalan raya itu seumpama milik mereka tanpa langsung memikirkan soal keselamatan diri sendiri. Mereka juga tidak mempedulikan pengguna jalan raya lain yang turut berkongsi jalan yang sama.

Itulah realiti yang berlaku. Dalam pada itu saya juga ingin berkongsi tentang tiga faktor yang dilihat antara penyebab utama berlakunya kemalangan di negara ini. Saya rangkumkannya kepada 3C iaitu:

Cuaca - Keadaan cuaca di Malaysia memang tidak menentu. Ada masa panas terik dan ada kalanya hujan. Hujan kadangkala lebat dan ada kala hujan renyai-renyai. Tidak boleh dinafikan keadaan cuaca yang pelbagai ini boleh memberikan tekanan kepada pemandu. Bayangkan seorang pengguna jalan raya memandu dalam cuaca yang panas terik antara pukul 1 hingga 3 petang.

Dalam cuaca yang sebegitu emosi pemandu sedikit sebanyak boleh terganggu ditambah jika anak-anak kecil menangis, pasangan membebel, merungut serta marah-marah. Secara langsung boleh membuatkan pemandu mudah `naik darah’. Akibatnya pemandu bertindak memecut laju kenderaan mereka kerana marah dan tertekan. Paling dikhuatiri mereka melanggar setiap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan. Paling dibimbangi lagi mereka memecut tanpa menghiraukan keselamatan orang lain. Akhirnya boleh menyebabkan kemalangan.

Cuai - Kecuaian dalam pemanduan sudah menjadi sikap dan tabiat sesetengah pemandu sehingga menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Sikap cuai ini ditunjukkan melalui perbuatan negatif yang tidak sepatutnya dilakukan.

Antaranya memotong kenderaan di kiri jalan, memecut melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit sama ada untuk buat panggilan mahupun menghantar mesej pesanan. Pemanduan secara gopoh juga salah satu daripadanya.

Cacat- Kecacatan yang dimaksudkan di sini adalah keadaan jalan raya yang teruk dan sepatutnya dibaiki oleh pihak berkaitan demi keselamatan pengguna-pengguna jalan raya. Keadaan jalan yang seperti itu sememangnya boleh menjadi penyebab kepada berlakunya kemalangan.

Sebagai contoh jalan berlubang. Punca jalan berlubang adalah disebabkan kegagalan pihak berkuasa membuat selenggaraan dengan baik. Jalan berlubang amat berbahaya terutama kepada penunggang motosikal.

Sehubungan itu saya amat berharap setiap pemandu di luar sana mengambil sikap proaktif supaya kadar kemalangan dapat dikurangkan dari setahun ke setahun. Sikap proaktif itu termasuk juga corak pemanduan yang lebih berhati-hati, cermat, berhemah dan bertimbang rasa.

Pada pendapat saya setiap orang mampu mengubahnya. Saya juga ingin mengesyorkan supaya setiap daripada kita amalkan 4P ketika memandu iaitu penyabar, pentingkan keselamatan, positif dan panjatkan doa.

PROF. MADYA DR. RUSINAH SIRON
Kolej Pengajian Siswazah
Uniten

Tiada ulasan: