HALAMAN SANTAI

Khamis, 7 Julai 2016

Kontena terpakai kini lebih bernilai

SINAR HARIAN
rumah kontena
Gambar hiasan
 

PEMBINAAN rumah, inap desa, salun, kafe, pejabat berasaskan kontena yang semakin menjadi trend ketika ini telah membuka peluang yang luas kepada dua usahawan yang menjalankan perniagaan menjual kontena terpakai untuk melibatkan diri secara lebih serius.

Bagi mereka, walaupun kontena yang dijual merupakan kontena terpakai namun ramai yang masih tidak tahu, ia boleh diubah suai dan kembali bernilai sehingga boleh dijadikan seakan sama dengan rumah, salun atau kafe yang sebenar.

Muhammad Amin Luqman, 27, yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor mula berkecimpung dalam dunia perniagaan kontena dan kabin hasil dorongan bapa saudaranya yang menjalankan perniagaan logistik.

"Bermula dengan membantu pakcik, saya menguruskan perniagaan logistiknya yang sememangnya menggunakan kontena untuk membawa barang dan sebagainya, dari situ saya terfikir lebih baik jika cabangnya diluaskan dengan menjual semula kontena terpakai ini daripada dibiarkan berlambak di pelabuhan dan dikenakan caj.
  
"Kalau ikutkan apa yang saya belajar di Universiti Teknolgi MARA dalam bidang Pengurusan Sistem Pejabat agak lari daripada apa yang sedang saya lakukan ketika ini, namun ia bukanlah penghalang untuk saya membina karier saya dan menjana pendapatan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai perniagaan yang dijalankan lebih setahun lepas, Muhammad Amin berkata kontena yang dijualnya mempunyai pelbagai saiz dan spesifikasi dengan rata-ratanya berusia 10 tahun ke atas dan tidak lagi dibenarkan berada di atas kapal untuk mengangkut barang.

"Untuk kontena biasa ada tiga saiz iaitu 20 kaki, 40 kaki dengan ketinggian lapan kaki enam dan 40 kaki dengan ketinggian sembilan kaki enam. Bagi kontena Freezer ada dua saiz iaitu 20 kaki dan 40 kaki. Selain itu, saya juga ada jual kabin baharu jenis keupayaan ringan dengan saiz 20 kaki, 30 kaki dan 40 kaki.

"Harga sesebuah kontena bergantung kepada spesifikasi yang diminta pelanggan, sebagai contoh, kalau pelanggan mahu berpintu, tingkap termasuk siap dipasang dengan fiber untuk mengelakkan panas dan sebagainya... tetapi untuk kontena asas harga bermula daripada RM3,900. Bagi kabin pula harga bermula daripada RM3,800," katanya.

Kebanyakan pelanggannya terdiri daripada syarikat dan individu yang ingin menjalankan perniagaan inap desa.

"Kalau syarikat, biasanya lebih cenderung membeli kabin untuk dijadikan pejabat sementara di tapak pembinaan termasuk rumah sementara bagi pekerja buruh mereka.

Bagi mereka yang menjalankan perniagaan inap desa pula, mereka lebih cenderung membeli kontena kerana ia lebih tahan lama di samping untuk menjamin keselesaan pelanggan.

Mengenai permintaan, Muhammad Amin berkata sebanyak 15 kontena boleh dijual dalam tempoh sebulan dan  20 buah bagi kabin, manakala bagi kos penghantaran, caj dikenakan sebanyak RM500 bagi Lembah Klang dan bagi negeri lain seperti Negeri Sembilan, Johor dan sebagainya harga berbeza-beza mengikut jarak lokasi.

"Tempoh penghantaran pula selalunya kalau pelanggan membuat tempahan hari ini, esoknya kita akan pastikan ia telah siap untuk dibuat penghantaran kerana stok kontena kita sentiasa ada," katanya.

Muhammad berkata melihat ‘suasana’ positif terhadap permintaan kontena hari ini, ia sekali gus membakar semangatnya untuk terus mengembangkan cabang perniagaan itu.

"Ada ramai juga pelanggan individu yang telefon dan bertanya sama ada saya mempunyai bentuk rekaan rumah dan sebagainya yang mana ia memberi saya idea untuk mempakejkan perniagaan ini kelak dari A hingga Z iaitu dari peringkat rekaan, caj, kimpal, diubah suai sehingga peringkat penyiapan. Tetapi ini semua saya kena dalami lagi sebelum ia dimulakan,” katanya.

Sementara itu, bagi Dzulkarnain Mohd Jasmi , 30, pula yang menjalankan perniagaan kontena yang ditempah khas daripada peringkat membekalkan kontena, membuat rekaan, memotong, mengimpal, mengecat dan turut menyediakan penghantaran, bermula apabila idea untuk membuat butik kontena tercetus.

"Idea mula tercetus ketika saya berada di Guangzhou, China bersama pengusaha pakaian dari Malaysia yang menyatakan perniagaan mereka sedikit terjejas lalu saya memberikan idea untuk ‘menyegarkan’ perniagaan mereka dengan membuka butik kontena.

"Idea ini juga pada awalnya hanya terlintas di fikiran dan tidak sangka ia dapat dijadikan kenyataan dan kini bukan hanya butik yang saya buat tetapi salun, kafe, pejabat, rumah, ruang pamer dan sebagainya," katanya yang telah menjalankan perniagaan itu sejak setahun lepas.

Katanya proses untuk membuat rekaan kontena dilakukannya dengan membuat lakaran kepada pelanggan sebelum mendapat persetujuan tatapi ada juga pelanggan yang datang dengan rekaan sendiri namun ia akan diteliti untuk melihat sama ada ia boleh dibuat atau sebaliknya.

"Saya ada pasukan pengeluaran saya yang bersama-sama saya dalam perniagaan ini. Kalau rekaan, selalunya saya akan lakar. Bagi pelanggan yang minta lakaran

dalam bentuk tiga dimensi (3D) saya akan minta rakan saya untuk lakar dalam bentuk 3D dan serahkan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata dalam menjalankan perniagaan, cabaran yang dihadapi setiap orang adalah berbeza dan bagi Dzulkarnain cabaran yang dihadapinya ketika ini apabila dia tidak dapat memberikan harga tetap untuk setiap kontena kerana ia bergantung kepada perubahan mata wang asing.

"Kontena ini kontena antarabangsa jadi saya dapatnya juga bukan menggunakan Ringgit kerana itu ia bergantung kepada pasaran mata wang asing,"katanya. - Bernama


Tiada ulasan: