Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: PAS hari ini mengesa bekas rakan tahaluf siyasinya DAP agar
bersabar dan menunggu Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) untuk membuktikan
sokongan pengundi terhadap pemimpin mereka yang kini dilanda krisis
rasuah.
Naib Presidennya Idris Ahmad berkata, adalah lebih baik pembangkang
memberi tumpuan kepada PRU14 selepas mengalami dua kekalahan pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar
.
"Sekarang kita kena tumpu kepada PRU14 akan datang, dan kalau nak buat
satu pilihanraya akan makan masa yang panjang dan perbelanjaan yang
banyak.
"Kita yakin BN pula akan gunakan peruntukan untuk tumpukan bagi
memancing undi di Pulau Pinang sedangkan di (PRN) Sawarak dan (PRK)
Kuala Kangsar dan Sungai Besar pun belum tertunai (manifesto), biar BN
selesaikan dahulu," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Sebelum ini Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berkata
DAP Pulau Pinang sedang menimbang sama ada akan mengadakan pilihan raya
mengejut di negeri berkenaan sebagai tanda protes kepada pertuduhan
rasuah yang difailkan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Bagaimanapun, parti itu belum mengadakan sebarang perbincangan di
peringkat pusat dan merupakan satu pilihan yang belum pasti
dilaksanakan.
Ditanya reaksi PAS untuk meletakkan calon jika pilihan raya berkenaan
berlangsung, Idris berkata setakat ini tiada perbincangan mengenainya
namun tidak menolak untuk turut bertanding.
"Kita (PAS Pusat) belum bincang lagi (mengenai cadangan DAP adakan PRN
Pulau Pinang), mereka (PAS Pusat) pun belum maklum kepada kita
(pendirian mengenai PRN Pulau Pinang).
"Kita kalau ada pilihanraya, kita akan bertanding. Tapi setakat hari
ini kita tidak bincang lagi (mengenai cadangan DAP) tapi kita tetap akan
bertanding," katanya.
DAP kini sedang berkira-kira untuk mengadakan pilihan raya mengejut
bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.
Ia ekoran Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas dua
pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai
pasaran bagi seunit kediaman di Jalan Pinhorn, George Town 30 Jun lalu.
Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009
(berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada
kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah
unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).
Bagaimanapun Guan Eng mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan
berkenaan dan beliau dibenar ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang
penjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan