KUALA LUMPUR: Apa yang akan dilakukan DAP dengan wang sumbangan lebih
RM1 juta yang dikutip untuk ikat jamin Ketua Menteri Pulau Pinang Lim
Guan Eng selepas perbicaraan kes rasuah beliau selesai, soal Pengerusi
Biro Keharmonian Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker.
Lian Ker mempersoalkan sama ada wang itu akan dikembalikan semula kepada penderma atau sebaliknya.
"Mengapa DAP menganjurkan kempen kutipan derma untuk mendapatkan
kembali wang yang digunakan untuk ikat jamin Ketua Menteri Pulau Pinang
yang telah pun dibebaskan dengan ikat jamin?
"Lim sudah dibebaskan dengan ikat jamin dan di sini mereka mengelirukan
orang ramai untuk menderma dana yang mungkin kemudian tidak digunakan,"
kata Ti dalam satu kenyataan.
Lian Ker berkata, dakwaan rasuah terhadap Guan Eng adalah bersifat
peribadi kerana ia melibatkan sebuah banglo yang dibeli di bawah harga
pasaran daripada pemilik yang mungkin mempunyai urusan negeri atau
mendapat manfaat daripada jawatannya sebagai ketua menteri.
"Ini berbeza jika DAP mencari dana untuk satu tragedi yang melanda
negeri atau ke arah kebajikan tertentu yang tidak ada dalam budaya dan
amalan DAP," katanya.
Lian Ker berkata parti itu mengamalkan sikap 'double standard', memberi
contoh kes C Selvam, pemandu kepada mendiang Pengerusi DAP Karpal
Singh, yang telah dikurung selama lebih sebulan apabila tiada siapa yang
membayar ikat jamin RM5,000 untuk dirinya.
"Kami juga mengingatkan tentang bekas Pengerusi DAP Sarawak, mendiang
Wong Ho Leng yang mengadu kurang mendapat perhatian atau bantuan parti
apabila dia menghidap kanser," katanya.
Lian Ker mengingatkan orang ramai bahawa DAP telah gagal mendedahkan
jumlah yang dikumpul untuk dana 'Save Bukit China' pada tahun 1984 bagi
menghentikan rancangan pembangunan kerajaan Melaka di bukit itu.
DAP telah melancarkan kempen derma 'RM10 Solidariti Bersama Guan Eng'
selepas Setiausaha Agung didakwa dengan dua tuduhan rasuah pada Khamis
dan jumlah ikat jamin RM1 juta ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan