HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Julai 2016

Nostalgia Raya Dulu Kala


PEMBAHAS “Aku” kata: “Ni musim raya mai lagi... teringat jugak aku kag budak2 kampong mai 'ziarah' romah ke romah, apabila dipelawa "naik la keromah, ada kuwe dan biskut, minum ayag", ada yg jawab: "tak mao, kami mai nak beraya, dan ambik duit raya saja..."

Catatan dia kembalikan nostalgia berhari raya.

Dulu raya main mercun. Sekarang raya main handphone.

Dulu raya pasang pelita dan main meriam buluh. Satu kampung berkelipan dan riuh.

Jari tak putus, mata tak buta dan tangan tak luka. Sebab kita guna otak dan dengar cakap orang tua-tua. Meriam dan mercun bahaya jadi kita jaga-jaga.

Sekarang banyak yang tak tahu. Tapi nak tunjuk pandai. Akhir muka terbakar, jari berkecai.

Dulu lemang dan ketupat asli. Sekarang banyak yang pseudo. Masak dulu baru masuk dalam buluh. Dulu masuk beras, santan dan gula dalam buluh baru bakar. Yang bakar lemang mesti pakar.

Di Utara, ketupat berasnya pulut. Guna daun palas sebagai pembalut. Tak pandai rebus memang tak masak. Dapur kayu membuatkannya lebih enak.

Di Selatan pakai beras biasa. Beras jawi, kata orang Utara. Pembalutnya daun kelapa. Pun sama. Tak pandai bungkus tak jadi lah ia.

Sekarang ketupat, nasi himpit banyak yang palsu. Dibalut plastics ready to cook. Nak anyam sarung ketupat pun ramai dah tak tahu.
Dulu raya seronok gila. Bangun pagi buta pergi telaga mandi sunat raya. Airnya dingin tidak terkira. Kecut segala-galanya.

Pergi masjid jalan kaki. Pakai kasut baru punyalah ranggi. Belum apa-apa dah melecur kaki. Maklumlah pakai kasut baru setahun sekali.

Foong Kiong jenama popular. Kasut Bata dah ada tapi tak ramai yang mampu beli. Kasut kulit menanglah tak termimpi.

Lepas sembahyang raya, cepat-cepat melawat sanak saudara, jiran tetangga. Matlamatnya duit raya. Sepuluh sen adalah biasa, 20 sen bukan main gembira, 30 sen seronok macam nak gila.

Dapat cukup duit pergi kedai Cina. Beli mercun dan gula-gula. Singgah kedai mamak makan mi rebus. Tambah sotong sekeping sebagai bonus. Minum ais bandung atau air lemode.

Balik rumah terus tidur. Belah petang ziarah kubur. Lepas senja, kalau ayah kata ok, naik gerek pi Pendang. Makan mi goreng dan tengok wayang.

Sekarang balik kampung beratus kilometer. Naik bas, motor dan kereta. Jalan sesak lagi bahaya. Sepanjang jalan gelisah tak terkira. Teringat Whatsapp, Facebook, Instagram dan twitter.

Sampai kampung ramai berhimpun tapi masing-masing asyik dengan handphone. Itulah raya zaman sekarang. Tak boleh disuruh tak boleh dilarang.

Tengok televisyen pun dah kurang.  Itulah cerita dulu dan sekarang.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: