MALAYSIAKINI
Laluan dari Pizza Hut di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ke Indah Water Konsortium di ibunegara akan ditutup selama dua
bulan setengah mulai Jumaat ini hingga 30 September depan, bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan Stesen MRT TTDI.
Penutupan itu akan bermula dari 11 malam hingga 6 pagi, dan lima lorong
akan disediakan untuk pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur (KL) ke
Lebuhraya SPRINT, kata MMC-Gamuda KVMRT (PDP) Sdn Bhd dalam kenyataan
tadi.
Sepanjang penutupan laluan itu, pengguna jalan raya dari Jalan Tun Mohd
Fuad boleh menggunakan laluan LDP (menuju SS2) dan mereka dari Jalan
Leong Yew Koh boleh menggunakan laluan bawah persimpangan TTDI ke SS2
untuk ke Lebuhraya SPRINT di Persimpangan Damansara Utama berdekatan
Balai Polis.
Pengguna jalan raya dari Kepong ke Lebuhraya SPRINT (menuju KL) boleh ke
jejambat dan membelok kiri di Persimpangan Damansara Utama untuk ke
Lebuhraya SPRINT manakala pemandu di Lebuhraya SPRINT ke TTDI akan
dilencongkan ke Persimpangan TTDI dan membuat pusingan 'U' sebelum lampu
isyarat untuk ke Jalan Tun Mohd Fuad.
"Pemandu di Lebuhraya LDP dari SS2 ke Jalan Damansara (menuju
KL/Lebuhraya SPRINT) akan dilencongkan ke Persimpangan Bandar Utama
untuk membuat pusingan 'U'. Mereka dikehendaki menggunakan jejambat di
Persimpangan TTDI menuju ke SS2 untuk ke Lebuhraya SPRINT di
Persimpangan Damansara Utama," kata kenyataan itu.
Dalam tempoh sama, aliran kontra akan dilaksanakan dari Pizza Hut ke Pintu Masuk B Stesen MRT TTDI.
Pengguna jalan raya dari LDP/TTDI menghala ke KL/Lebuhraya SPRINT akan
dialihkan ke lorong bertentangan dan satu lorong lalu lintas akan
disediakan bagi setiap arah manakala persimpangan Jalan Wan Kadir dan
Jalan Wan Kadir 3 dan Jalan Damansara akan ditutup buat sementara waktu
dan tidak boleh digunakan semasa tempoh aliran kontra.
Pelan Pengurusan Trafik (TMP) waktu malam juga akan dilaksanakan di
persekitaran Persimpangan TTDI mulai Jumaat ini hingga 30 Sept bagi
memudahkan kerja-kerja mengecat, memasang kabel dan binaan untuk Stesen
MRT TTDI.
Penutupan laluan itu melibatkan jalan susur penuh dari Jalan Leong Yew
Koh yang membawa kepada Jalan Damansara (KL/Lebuhraya SPRINT) dan laluan
bawah di Persimpangan TTDI serta Jalan Leong Yew Koh sedia ada untuk
Lebuhraya LDP.
Pelan pengurusan trafik juga akan melibatkan penutupan pusingan 'U' ke
TTDI dan penutupan jalan masuk ke Jalan Damansara dari SS2.
Sementara itu, penutupan sebahagian lorong di kira-kira 150 meter di
lorong kiri terowong dari Kajang ke arah East West Link Expressway, akan
diteruskan mulai Jumaat ini hingga 15 November depan selama 24 jam.
"Semasa penutupan ini, satu lorong akan disediakan untuk pemandu dari
Kajang menuju ke Lebuhraya Link Timur-Barat,"kata kenyataan itu.
Penutupan laluan di Jalan Cheras berhampiran Taman Midah akan
dilaksanakan mulai Jumaat ini hingga 15 Ogos dari 11 malam hingga 5
pagi, untuk memudahkan pelancaran jek bumbung dan kerja-kerja berkaitan
bagi Stesen MRT Taman Midah.
Semasa penutupan itu, trafik dari KL menuju ke Kajang akan dilencongkan
ke laluan dalaman di Stesen Minyak Petronas berhampiran Tanah Perkuburan
Kristian Cheras dan keluar ke Jalan Cheras melalui laluan dari
McDonald's, manakala pengguna jalan raya dari Kajang akan dihalakan ke
lorong bawah di Stesen MRT Taman Midah yang bakal dibina.
Menurut syarikat itu, laluan Jalan Cheras berhampiran Cheras Sentral
akan ditutup dari 16 hingga 17 Julai bermula dari 12 malam hingga 5 pagi
melibatkan penutupan lorong paling kanan di sepanjang Jalan Cheras
(menuju Kajang) bertentangan Cheras Sentral Mall.
Penutupan itu turut melibatkan tiga lorong di sepanjang Jalan Cheras
(menuju KL) bertentangan Cheras Sentral Mall dari MRT CLQ ke KL.
Pelan pengurusan trafik empat fasa juga akan dilaksanakan di sepanjang
Persiaran Surian dari Julai hingga 6 Ogos bermula 11 malam hingga 6 pagi
bagi memudahkan pemasangan jejantas pejalan kaki di kawasan Pelangi
Astana dan Pelangi Square.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan