HALAMAN SANTAI

Ahad, 3 Julai 2016

Penyertaan Muhyiddin, Mukhriz dalam PH mampu lonjak semangat baru - Syed Ibrahim

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR mengalu-alukan penyertaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada Umno minggu lalu, sekiranya kedua pemimpin itu mahu meneruskan perjuangan politik mereka bersama pakatan pembangkang. 
 
Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk Datuk Saifuddin Abdullah baru-baru ini bahawa gabungan tersebut menunggu masa yang sesuai bagi melamar dua pemimpin berkenaan.
 
"Kita setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Saifuddin. Di dalam PKR sendiri, kita mengalu-alukan kemasukan dan bantuan sokongan daripada semua pihak yang boleh bersama dengan perjuangan parti.
 
"Satu 'boost' atau sokongan baik yang boleh beri lonjakan kepada perjuangan PH," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Dalam satu temubual bersama Antarapos baru-baru ini Saifuddin memberitahu PH terbuka untuk menerima penyertaan mantan Timbalan Perdana Menteri dan mantan Menteri Besar Kedah itu dalam gabungan pembangkang berkenaan.
 
Bagaimanapun Saifuddin, yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno berpendirian adalah lebih baik menunggu masa yang sesuai bagi 'melamar' kedua-dua bekas pemimpin yang dipecat daripada Umno baru-baru ini.
 
Sementara itu Syed Ibrahim tidak menolak ada pihak di dalam PH sudah mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dan Mukhriz bagi menyertai gabungan pembangkang itu.
 
"Secara tidak formal, ramai pihak sudah terlibat dan buat perbincangan. Sama ada menawarkan mereka ke dalam parti, belum lagi secara formal," katanya lagi.
 
Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno kerana dilihat sebagai 'mesra' pembangkang apabila menyertai Deklarasi Rakyat yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan mendapat sokongan pemimpin pembangkang yang lain bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
  
Dalam perkembangan berlainan, Syed Ibrahim juga diajukan cadangan Ahli Jawatankuasa Pusat Amanah, Mazlan Aliman semalam bahawa parti itu mahu Muhyiddin dipertimbangkan untuk dipilih sebagai ketua pembangkang baharu PH.
 
Beliau mengulas dakwaan sama ada cadangan itu timbul kerana kredibiliti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai ketua pembangkang PH dipersoal.
 
"Mazlan dan rakan-rakan di Johor tidak membuat kenyataan sebegitu. Mereka cuma membuka ruang kepada Muhyiddin dan Mukhriz untuk berperanan. Bukan soal jadi Ketua Pembangkang. Tidak timbul dan tiada soal kredibiliti pada Wan Azizah," ujarnya.
 
Mazlan yang dipetik sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam berkata, parti itu mahu Muhyiddin dipertimbangkan untuk dipilih sebagai ketua pembangkang baharu PH.
 
Mazlan juga dikatakan mengakui wujud perbincangan dalam parti untuk mencadangkan pelantikan bekas Timbalan Presiden Umno itu ke seluruh pimpinan PH.
 
Bagaimanapun tidak lama kemudian, Mazlan tampil menafikan perkara berkenaan dan mendakwa laporan tersebut jauh tersasar serta berniat jahat. 
 
 

Tiada ulasan: