MALAYSIA GAZETTE
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengambil keterangan Anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming berhubung status akaun Facebook miliknya yang dikatakan menghina sambutan Hari Raya Aidilfitri, 5 Julai lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan meneliti keterangan Nga sebelum mengambil sebarang tindakan susulan.
"Pihak saya akan teliti dulu apa keterangan dia (Nga), kalau kita tak rasa perlu tahan, maka tidak perlu tahan.
"Kami juga akan menyiasat sama ada status itu dibuat oleh Nga atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Cawangan Khas Bukit Aman di sini.
PDRM sebelum ini membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan ke atas Nga berhubung dakwaan itu susulan beberapa laporan polis terhadap entri Facebook anggota Parlimen itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan Nga dipanggil kira-kira pukul 2.30 petang tadi ke Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini.
Dalam pada itu, Nga berkata beliau telah memberi kerjasama yang baik sepanjang proses mengambil keterangannya berhubung perkara berkenaan yang berlangsung selama dua jam.
"Saya menyeru semua pihak agar menghormati siasatan polis dan biarlah mereka (polis) yang melengkapkan siasatan," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan