Geraldine Tong
Walaupun bank tidak dibuka pada hari Sabtu, kira-kira 30 orang berkumpul di hadapan Maybank di Puchong pagi ini.
Penduduk Puchong itu berhimpun bagi menunjukkan sokongan mereka
terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan dengan
pertuduhan rasuah Khamis lalu.
Mereka datang untuk menyumbangkan RM10 seorang melalui mesin juruwang
automatik (ATM), dan mereka berbual antara satu sama lain dan mengambil
gambar bersama sementara menunggu di situ.
Wakil penduduk, Yap Chee Meng, berkata ia adalah satu inisiatif yang
dirancang oleh penduduk sendiri sejak pagi semalam, sebelum mereka
mendapat tahu bahawa RM1 juta telah berjaya dikumpulkan.
"Tetapi apabila kita bercakap dengan penduduk di sini, mereka masih mahu melibatkan diri.
"Jadi kami membuat keputusan bahawa kita akan meneruskan program kami
ini," katanya kepada pemberita di luar Maybank di Puchong hari ini.
DAP telah melancarkan kempen mengutip derma mulai jam 5 petang hari
Khamis untuk mengumpul wang ikat jamin RM1 juta untuk Lim, selepas
setiausaha agung parti itu didakwa dengan dua tuduhan rasuah di Mahkamah
Tinggi Pulau Pinang pada hari yang sama.
Pada jam 2 petang semalam, mereka mengumumkan telah telah berjaya mengumpul RM1,009,000.
ADUN DAP Kinrara, Ng Sze Han menyifatkannya sebagai satu inisiatif
yang sangat bermakna oleh penduduk berkenaan untuk menunjukkan sokongan
mereka kepada Lim dan kemarahan mereka terhadap apa yang telah berlaku.
"Bagi saya, jumlah wang tidak penting lagi kerana kita telah mengumpul RM1 juta.
"Tetapi orang ramai perlu satu saluran untuk meluahkan kemarahan atau sokongan kepada Lim," katanya.
Sebagai setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke
mengumumkan semalam kempen 'Sokongan, Simpati dan Solidariti bersama Lim
Guan Eng (SSSLGE). Ng berkata, beliau menganggap program penduduk itu
sebagai permulaan kempen tersebut.
Loke berkata semalam bahawa sebarang sumbangan melebihi paras RM1
juta akan digunakan untuk membiayai kempen SSSLGE - jelajah di seluruh
negara bagi menyokong Lim.
Salah seorang penyumbamg yang beratur di Maybank hari ini, Grace
Yong, berkata dia sudah menyumbang RM10 melalui talian semalam, tetapi
dia datang untuk menyumbang lagi.
"Ia bukan soal wang. Ia mengenai semua orang bersama demi keadilan kes ini," kata Yong (kanan), kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan