HALAMAN SANTAI

Jumaat, 1 Julai 2016

Tiada konspirasi politik dalam kes Guan Eng - Pakar undang-undang

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan pembangkang hendaklah berlapang dada menerima tuduhan yang disabitkan ke atas Setiausaha Agung DAP yang didakwa menerima rasuah dengan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi.
 
Penganalisis Undang-undang Datuk Salehuddin Saidin, mengingatkan kembali fakta kes yang lebih kurang sama pernah melanda bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir Toyo pada tahun 2007.
 
Khir disabit bersalah atas tuduhun sama, menyalah guna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta untuk dirinya dan isteri.
 
"Kalau kita tengok kes Datuk Seri Khir Toyo, fakta lebih kurang sama, masa Khir Toyo dulu tidak ada pula beliau katakan ini konspirasi politik. Mereka (pembangkang) asyik katakan Khir Toyo sudah bersalah sebelum keputusan dibuat. 
 
"Sekarang fakta yang sama, kemudian nak kata konspirasi politik, ini tidak adil. Tidak boleh bandingkan dengan isu 1MDB, atau isu lain. Kerana isu ini berkaitan dengan penyiasatan yang hampir sama dengan kes Khir Toyo," katanya kepada Antarapos.
 
Semalam Setiausaha Agung DAP itu mengadakan sidang media di Dewan Bandaraya bagi menjelaskan pertuduhan ke atas beliau.
 
Guan Eng dalam itu berkata beliau akan melawan kes ini sehingga selesai dan lebih rela mati daripada hidup melutut, merayu atas pertuduhan berkenaan.
 
Serah kepada pihak berkuasa
 
Malah Salehuddin berpendapat, Guan Eng seharusnya tidak bertindak sedemikian, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
 
"Itu hak dia, dia nak buat di Mahkamah atau tidak. Orang politik biasalah, itu memang kita sudah boleh jangka. Orang politik dia akan cakap dan terangkan, takkan nak diam sahaja. 
 
"Sudah tentu akan gunakan kesempatan ini menyatakan bahawa ini adalah satu konspirasi politik. Tapi kalau fakta dan tuduhan sudah dibuat, saksinya ramai penyiasatan menyeluruh, takkan kita nak ragui. Apa pun biar mahkamah yang tentukan samada cukup tidak keterangan," katanya.
 
Salehuddin turut menggesa agar Guan Eng melepaskan jawatannya sebagai pemimpin atau berehat seketika bagi memastikan siasatan terhadapnya berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
 
"Dari sudut moral, kalau seseorang itu didakwa sebegitu sepatutnya di letak jawatan. Tapi dia kata dia akan tunggu Mesyuarat Tertinggi DAP untuk menentukan, kalau sudah itu, sepatutnya dia tunggu sahaja," ujar beliau.
 
Namun Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata parti itu mengambil pendirian Guan Eng tidak bersalah walaupun beliau berdepan dua pendakwaan rasuah, malah Guan Eng tidak perlu letak jawatan selaku Ketua Menteri negeri berkenaan. 
 
Guan Eng didakwa di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 berkaitan dakwaan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial.
 
Beliau juga didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.
 
Sementara itu, ahli perniagaan wanita Phang Li Khoon, yang menjual banglonya kepada Lim pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang dibaca bersama Seksyen 165 kanun sama kerana bersubahat dengannya.
 
Bagaimanapun pemimpin DAP itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah keatasnya semalam.
 
 

Tiada ulasan: