HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2016

Dilema peneroka Felda selepas 60 tahun

Dilema peneroka Felda selepas 60 tahun
 
SIRI PERTAMA


LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) ditubuhkan pada 1957 adalah untuk membantu orang-orang Melayu terutama golongan miskin untuk memiliki tanah dan rumah sendiri.

Namun selepas 60 tahun, masih banyak banyak yang membelenggu golongan peneroka Felda terutama hutang yang semakin meningkat saban tahun.

Lebih malang, ada di kalangan peneroka Felda ini yang tidak tahu jumlah sebenar hutang yang perlu mereka bayar.

Malah ada yang langsung tidak pernah melihat penyata pendapatan (payslip) setiap bulan, melainkan baki pendapatan selepas ditolak dengan hutang.

Inilah dilema yang terpaksa dihadapi oleh peneroka di seluruh negara sehingga menimbulkan keluh kesah terhadap keberkesanan pentadbiran Felda.

Kebanyakannya mempersoalkan, apakah dasar yang digunapakai oleh Felda telah menyebabkan peneroka terus dihimpit kemiskinan dan hutang yang belum tentu dapat dibayar oleh mereka.

Menurut sumber, peneroka yang terlibat dengan penanaman semula kelapa sawit di bawah seliaan Felda Technoplant diberikan wang sara hidup setiap bulan yang bersifat hutang sebanyak RM1,500 sehinggalah tanaman mereka berbuah.

Biasanya kelapa sawit akan berbuah bila mencapai umur antara empat hingga enam tahun, keadaan ini menyebabkan hutang mereka semakin meningkat dan boleh mencecah sehingga RM60,000.

Selain itu juga mereka ditawarkan bantuan perumahan bernilai RM40,000 dan ini menyebabkan jumlah hutang mereka meningkat hingga RM100,000.

Bagaimana peneroka hendak membayar hutang yang begini banyak. Kebanyakan mereka sudah berumur 60,70 atau 80 tahun.

Jika mereka tidak mampu membayarnya maka hutang tersebut akan diwarisi oleh anak mereka. SOROT minggu ini menyelami dilema peneroka Felda.

Tadbir urus ladang bermasalah

Tadbir urus ladang yang bermasalah menyebabkan peneroka di Felda Chiku 3, Gua Musang hilang keyakinan untuk menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berkenaan secara berterusan.

Seorang peneroka, Nik Mohamad Wan Isa, 66, berkata, sehingga kini, dia masih bersama Felda dan menyerahkan tadbir urus ladang kepada agensi berkenaan.

Namun katanya, melihat kepada keadaan dan cara kerja yang dijalankan, dia tidak teragak-agak untuk menguruskan sendiri ladang berkenaan yang dilihat tidak terurus dan merugikan.

“Saya memang tidak puas hati dengan tadbir urus ladang. Pertama sekali, dari segi kutipan hasil apabila lebih 50 peratus buah sawit yang telah masak tidak diambil, malah ditinggalkan bersepah di bawah pokok.

“Kuantiti yang ditinggalkan itu bukan sedikit, malah ada sesetengah pokok, tujuh hingga lapan tandan dibiarkan rosak. Ini bukan perkara baru dan saya sendiri kecewa dengan khidmat yang diberikan.

“Bukan masalah hasil yang sedikit, namun pengurusan yang tidak sempurna. Kalau situasi ini berterusan, saya juga akan uruskan sendiri seperti peneroka lain,” katanya ketika ditemui dekat sini.

Seorang lagi peneroka, Nik Hassan Ismail, 61, berkata, bukan sahaja proses pungutan hasil, malah kerja-kerja membaja juga tidak dilakukan dengan cara yang sepatutnya.

“Pekerja membaja ikut rasa. Ada sebahagian pokok dibaja dan ada yang ditinggalkan begitu sahaja. Ada yang terlebih baja dan ada yang langsung tidak dibaja.

“Sebab itu pokok tidak mampu mengeluarkan hasil yang konsisten. Malah, kawasan ladang juga tidak dibersihkan dan dibiarkan semak tanpa pengawasan serta pemantauan,” katanya lagi.

Mat Yaakob Dolah, 65, pula memberitahu, perkara ini sudah beberapa kali disuarakan, namun tidak diendahkan oleh wakil agensi berkenaan.

“Kita sayang Felda, mahu terus bersama Felda sampai bila-bila. Tapi, melihat kepada tadbir urus mereka, jadi serba salah.

“Kalau sistem dan tadbir urus ini dapat diperbaiki, kami akan setia bersama Felda. Peneroka bukan mahu menjatuhkan Felda, namun memperbetulkan cara kerja agar hasil itu dapat dinikmati,” katanya.

Menyedari tadbir urus ladang secara persendirian lebih baik berbanding menyerahkan kerja-kerja itu kepada Felda, Aziz Abdullah, 59, mengakui pulangan yang diperoleh berlipat ganda berbanding sebelum ini.

Katanya, sebelum ini, dia menyerahkan tadbir urus kepada Felda sepenuhnya dan hasil yang diperoleh hanyalah sekitar 50 tan sebulan.

“Selepas menguruskan sendiri ladang, saya mendapat hasil sehingga 160 tan sebulan. Malah, ladang saya boleh dibuat perbandingan dengan ladang di bawah seliaan Felda yang dipenuhi semak samun.

“Baru saya tahu, banyak kerugian yang telah berlaku sebelum ini akibat tadbir urus yang kurang memuaskan,” katanya yang memilih untuk menguruskan ladang sendiri bersama 17 peneroka lain.

Tambah Aziz, sebelum dia, sudah ada lebih 50 peneroka yang memilih untuk menguruskan sendiri hasil ladang dan tidak berdepan dengan masalah.

“Saya akan bersama Felda sekiranya agensi berkenaan meluluskan penyata gaji secara individu. Sekiranya tidak dapat, biarlah saya uruskan sendiri ladang,” katanya.

Bagi Ghani Mohamad, 66, ada beberapa rakan penerokanya turut melahirkan hasrat untuk menguruskan sendiri ladang mereka setelah melihat hasil dari ladang tadbir urus sendiri.

“Sekiranya Felda tidak bertindak untuk memperbaiki kelemahan itu dari sekarang, ia akan memberi kesan buruk kepada masa akan datang.

“Malah, satu perkara yang perlu dibimbangkan bila majoriti daripada  peneroka mahu mengurus sendiri hasil mereka. Ditambah pula apabila langkah itu lebih mudah dan berhasil daripada mengharapkan mereka,” katanya.



Tiada ulasan: