MALAYSIAKINI
Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas bekas naib
presiden PAS akan mengumumkan bahtera baru politiknya malam esok.
Dalam kenyataan terbuka disiarkan di Facebooknya Datuk Husam Musa berkata berjuang bersendirian ternyata bukan suatu pilihan.
"(Tempoh) empat bulan bukan singkat tetapi tidak pula tersangat panjang.
"Di penghujung empat bulan penantian, saya memilih untuk menyertai
bahtera baru untuk sama berganding mencuba merealisasikan: Islam Adalah
Penyelesaian," katanya.
Kata Husam selepas dipecat tiada sebarang petunjuk diterima daripada
parti yang pernah disertainya dulu atau semakan ke atas penyingkirannya.
Surat penjelasan saya kepada presiden Pas tidak berguna apa-apa," katanya sebentar tadi.
Husam
yang suatu ketika dulu dilihat sebagai pengganti allahyarham Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat namun terpinggir sedikit demi sedikit selepas tokoh
berkenaan meninggal dunia pada Februari 2015.
Ketika PAS mengadakan muktamar dan pemilihan pimpinan di Kuala
Selangor pada Jun 2015 Husam antara pimpinan bukan ulama yang disingkir
perwakilan.
Pimpinan tertinggi yang disingkirkan ialah Mohamad Sabu yang ketika
itu menjadi timbalan presiden. Penyingkiran beramai-ramai itu, kata
Mohamad, dianggap "pelik bin pelik bin pelik" kerana disambut baik oleh Umno.
Penyingkiran beramai-ramai itu kemudian melahirkan parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilihat sangat dimusuhi PAS.
Parti seolah terjual
Selepas menyertai beberapa program yang tidak disenangi PAS, Husam kemudian disahkan dipecat daripada parti itu pada 6 Mei lalu.
Pengumuman pemecatan Husam dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok.
Bagaimanapun Husam tidak segera menyatakan penyertaannya ke dalam
mana-mana parti sebaliknya menegaskan memerlukan masa untuk membuat
penilaian.
Kata Husam semasa menikmati tempoh bertenang dia menemui masyarakat
untuk mendapatkan pandangan mereka dan mengelak mengambil tindakan
terburu-buru.
Pada masa sama Husam "merenung dan mencari petanda-petanda pedoman".
Ternyata, katanya negara menuju ke arah lebih kritikal berbanding
sebelumnya, manakala Kelantan "tidak menjadi lebih baik" selepas ombak
pengislahan bermula 1990 (ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah
membentuk kerajaan).
Pada masa sama katanya parti yang dianggotainya dulu seperti
"terjual" dan berdepan masalah seperti kejumudan tanpa inovasi mentakwil
nas di luar sepatutnya serta "syok sendiri" selain membelakangkan
budaya berhujah.
"Berdiam diri bukanlah pilihan. Al-Quran menggelarkan orang yang duduk-duduk tanpa berbuat apa-apa sebagai al-Qa'idun.
"Ia disinonimkan dengan perempuan yang lemah atau orang tua yang uzur," katanya.
Sesekali, katanya, disebabkan dugaan yang datang begitu "berat" terlintas di fikiran untuk berehat.
Namun kata Husam, dunia bukan tempat beristirahat.
"Bersendirian? Juga bukan pilihan.
"Saya mencapai ketetapan, perjuangan Islam bukan hanya milik satu pihak, apa lagi satu parti," katanya.
Malam esok Husam dijadual menghadiri sebuah majlis makan malam Ambang Merdeka di sebuah restoran Cyberjaya.
Beliau dijadual membuat pengumuman mengenai wadah baru politiknya di majlis itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan