Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Golongan mahasiswa hanya dijadikan alat kepada pembangkang
dalam demonstrasi #TangkapMO1 yang diadakan Sabtu lalu, demikian menurut
penganalisis politik Syed Agil Syed Alsagoff.
Ujarnya, mahasiswa seharusnya bijak membuat penilaian agar tidak mudah
terpengaruh dengan kumpulan politik tertentu yang jelas hanya
mempergunakan mereka untuk kepentingan politik semata-mata.
"Pelajar diperalatkan untuk dijadikan satu sandaran politik yang
kononya membuka mata masyarakat bahawa mahasiswa sekarang turut sama
menggulingkan kerajaan.
"Saya rasa peranan mahasiswa dalam gerakan seumpana ini hanya untuk
mengaburi mata masyarakat bahawa mereka adalah golongan intelek yang
kononnya berjaya memberikan sokongan untuk menggulingkan kerajaan,"
katanya ketika dihubungi Antarapos.
Justeru beliau melahirkan rasa kebimbangannya terhadap mahasiswa yang
terlibat dalam aktiviti yang tidak sihat ini dan boleh menjejaskan masa
depan mereka.
"Dalam kemelut politik sekarang mahasiswa seharusnya tidak dijadikan
sebagai bahan untuk meraih sokongan bagi memenuhi matlamat parti
tertentu.
"Saya rasa bimbang terhadap peranan mahasiswa yang telah dipolitikkan
dan boleh mengakibatkan kesulitan kepada mereka terutamanya ketika
sedang melanjutkan pengajian mereka samada di IPTA atau IPTS," ujarnya
lagi.
Syed Agil mengulas mengenai penganjuran demonstrasi #TangkapMO1 yang
melibatkan kurang daripada 1,000 mahasiswa yang kebanyakannya penyokong
parti pembangkang.
Penganjuran demonstrasi #TangkapMO1 dianggap gagal mencapai matlamat
apabila Dataran Merdeka yang dikawal ketat oleh polis yang menjadi
tunjuk perasaan oleh golongan itu kelmarin.
Bagaimanapun demonstrasi #TangkapMO1 itu berlangsung dengan aman dan tiada sebarang tangkapan dibuat.
Ujar Syed Agil lagi, mahasiswa sepatutnya menjadikan iktibar terhadap
tangkapan yang pernah dibuat pihak berkuasa kepada kumpulan yang
terlibat dalam demonstrasi jalanan sebelum ini.
"Seharusnya tanggungjawab mereka untuk belajar itu harus diutamakan bukan untuk mengikuti demonstasi jalanan.
"Ini juga telah berlaku pada tahun-tahun lalu dalam siri Bersih jadi
saya berasa dukacita tentang sebilangan pelajar yang tanpa usul periksa
menjadikan diri mereka sebagai satu sandaran kepada parti-parti politik
untuk menjatuhkan kerajaan," jelas Syed Agil terhadap penglibatan
mahasiswa pada demonstrasi #TangkapMO1.
Terdahulu, Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah hari ini
menyifatkan golongan mahasiswa dipergunakan pembangkang dalam
demonstrasi #TangkapMO1 yang diadakan Sabtu lalu.
Ujarnya mahasiswa hanya sekadar menjadi "tukang sorak" serta "tukang
pegang mikrofon dan sepanduk" apabila turun menghadiri demonstrasi
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan