HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2016

Setiap hari rasa macam gempa bumi di Desa Tasik

 
 
Kerja-kerja menanam cerucuk sampai awal pagi membuatkan penduduk tidak dapat tidur di Desa Tasik Sungai Besi.
Kerja-kerja menanam cerucuk sampai awal pagi membuatkan penduduk tidak dapat tidur di Desa Tasik Sungai Besi.


Setiap hari penduduk Desa Tasik di sini mendakwa rasa 'gegaran' macam gempa bumi terutama bagi mereka yang tinggal di rumah flat di kawasan berkenaan.

Sudahlah bising, bunyi gegaran itu cukup merimaskan mereka termasuk hujung minggu yang sepatutnya menjadi hari bersama keluarga masing-masing.

Semua gara-gara kerja pembinaan di kawasan padat penduduk itu yang beroperasi tanpa henti dan kadangkala sampai pukul 4 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Penduduk Desa Tasik Selatan, Kapten (B) Rosli Ismail berkata, lebih merbahaya, lori yang keluar masuk dari tapak pembinaan itu juga mengancam nyawa penduduk.

"Penduduk bengang dan kami (persatuan penduduk) sudah naik buntu dengan masalah gangguan bunyi bising dan gegaran bila kerja-kerja menanam cerucuk ini," ujarnya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Menurut Rosli, walaupun aduan demi aduan dilaporkan pihaknya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 7 Parlimen Bandar Tun Razak dan polis namun tidak ada sebarang perubahan.

Mengikut arahan dan garis panduan DBKL waktu kerja 8 pagi sehingga 6 petang daripada Isnin hingga Jumaat dan tidak ada kerja dibuat pada hujung minggu termasuk cuti awam.

Namun, bagi Rosli, garis panduan itu hanya tinggal garis panduan kerana mendakwa DBKL tidak serius menangani masalah penduduk walaupun laporan sudah dibuat.

"Selain itu, laluan keluar masuk lori di pintu utama tidak dipasang lampu serta tidak ada pengawal yang mengawal kenderaan keluar masuk..ia merbahaya kepada penunggang motosikal dan pejalan kaki," katanya lagi.

Menurutnya, selain pencemaran bunyi bising terdapat juga habuk yang mencemarkan rumah dan kenderaan penduduk selain menyebabkan masalah longkang tersumbat kerana sisa-sisa buangan daripada kawasan itu dibuang ke dalam saliran utama.--MalaysiaGazette


Tiada ulasan: