KUALA LUMPUR: Polis Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman
menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kumpulan militan IS
dalam operasi berasingan sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang
antara Sabtu lalu dan kelmarin.
Tiga suspek itu didapati menganggotai sel pengganas yang sama dan
menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan
serangan pada malam Ambang Merdeka 2016 menggunakan bom tangan dan
senjata api.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata antara lokasi
sasaran serangan mereka adalah pusat hiburan di ibu negara, kuil hindu
di Batu Caves serta balai polis dan anggota polis.
"Tangkapan pertama 27 Ogos lalu membabitkan seorang pemandu lori
berusia 20 tahun di Selangor. Sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk
pistol jenis CZ 2075 RAMI dan 24 butir peluru berukuran 9 milimeter (MM)
turut dirampas daripadanya.
"Senjata api itu dipercayai dihantar oleh orang perantaraan (kurier)
Mohamad Wanndy di negara ini," katanya menerusi satu kenyataan
dikeluarkan Bukit Aman, tadi. Katanya, suspek kedua yang juga penjual
daging berusia 27 tahun ditangkap dalam operasi di Pahang, manakala
suspek ketiga berusia 20 tahun yang bekerja sebagai penjual air
ditangkap di Selangor.
Kedua-duanya ditahan pada 29 Ogos lalu. Menurut Khalid, ketiga-tiga
suspek didapati merancang pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan
pengganas IS di bawah pimpinan Mohamad Wanndy di sana selepas berjaya
melancarkan serangan itu.
Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab
VIA - Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan
disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan