HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2016

Solidariti untuk #TangkapMO1: Tulisan khas dari tanah suci

MALAYSIA DATELINE
 
 
Solidariti dari Masjidil HaramSolidariti dari Masjidil Haram


Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali yang kini sedang berada di Tanah Suci Mekah membuat penulisan khas sebagai tanda solidariti terhadap himpunan aman #TangkapMO1 pada esok hari.

"Ketika menyiapkan tulisan ini, saya baru sahaja usai solat Jumaat di Masjidil Haram. Tinggal beberapa jam sahaja lagi, himpunan aman #TangkapMO1 akan berlangsung di Kuala Lumpur," tulisnya.

Berikut adalah tulisan penuh beliau:

Biarlah tulisan ini jadi tanda solidariti saya terhadap perjuangan mahasiswa dan anak muda yang berjiwa besar. Jiwa muda yang luhur menggerakkan rakyat demi menghentikan politik jijik tanah air yang terkait langsung dengan the Malaysian Official 1.

Anis Syafiqah, Luqman Hakim, Aqilah Zainuzi, Ashraf Nazrin dan rakan-rakannya merupakan anak muda mahasiswa yang kental. Salut saya buat mereka.

Dalam mana-mana lakaran sejarah, kita dapat melihat betapa mahasiswa memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan.

Lihat sahaja mahasiswa Trisakti yang menjadi barisan hadapan kepada reformasi telah memungkinkan perubahan berlaku di Indonesia.

1965 di Spanyol, mahasiswa merupakan entiti penting dalam melawan regim zalim Franco. Di Amerika Latin, perlawanan mahasiswa berhadapan pemerintah autoritarian dimulai dengan deklarasi mahasiswa menerusi Manifesto Kordoba 1918.

Kemunculan anak-anak muda mahasiswa seperti Anis, Luqman, Aqilah dan Ashraf di saat krisis terbesar kewangan melanda tanah air menerusi skandal 1MDB merupakan harapan dan suntikan semangat baru kepada gerakan mahasiswa seterusnya gerakan rakyat di Malaysia.

Bahkan, disaat pemerintah terpalit skandal paling parah, sementelahan pakatan pembangkang sedang bergelut mencari formula penyatuan dan mengurus permasalahan dalaman parti, sambil munculnya parti-parti baharu mewarnai politik tanah air yang kelabu; nama-nama anak muda mahasiswa ini seakan-akan menyinggung serta memberi isyarat yang kuat bahawa kita sudah tidak punya masa untuk berlengah lagi.

Saat BERSIH masih belum menjawab persoalan bila dan dimana himpunan mereka buat kali kelima akan diadakan, penampilan mahasiswa dan anak muda dengan penganjuran himpunan aman #TangkapMO1 memberi kelegaan kepada rakyat Malaysia yang gelisah dengan arah perjalanan songsang yang dibawa para pemimpin gila hari ini!

Justeru, tidak ada sebab untuk anak muda dan mahasiswa berlengah lagi. Bahkan kali ini, mahasiswa dan anak mudalah memegang panji membuka jalan menggerakkan massa untuk mendesak pemerintah agar bertindak segera memulihkan kembali maruah negara.

Salahguna kuasa the Malaysian Official 1 yang merompak wang rakyat untuk serakah mereka dan kroni mesti dihentikan segera.

Justeru, himpunan #TangkapMO1 esok amat penting untuk menjadi tanda bahawa perlawanan rakyat menentang pemimpin yang tidak adil adalah suatu kewajipan mendesak pada masa ini bagi setiap rakyat yang cintakan Malaysia.

The Malaysian Official 1 adalah simbol kebejatan politik bangsat para pemimpin negara yang haloba dan rakus memuaskan serakah mereka tanpa memikirkan nasib rakyat.

Doa saya dari tanah suci, semoga himpunan esok berjaya. Semoga nasib dan maruah rakyat terbela di bumi Malaysia dan para penzalim tersungkur segera.

Buat anak muda mahasiswa, salut buat kamu semua.

Buat rakyat, ayuh gembeling tenaga dan tuntut hak kita.

Anda patriotik? Sertai himpunan aman #TangkapMO1 esok di ibu kota!


(+60 13-296 5714 : whatsapp sahaja)
26 Ogos 2016, 3.00pm
Makkah al-Mukarramah

Tiada ulasan: