HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Ogos 2016

Isu Paya Indah Wetlands boleh ancam jawatan Menteri Besar milik Azmin - Penganalisis

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
BANGI: Jawatan Menteri Besar Selangor yang kini dipegang Datuk Seri Azmin Ali, berkemungkinan terancam ekoran pendedahan kontroversi Paya Indah Wetlands oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). 
 
Penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, ia berikutan isu berkenaan kini sedang berada di dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
"Menjadi Menteri Besar akan mendedahkan beliau kepada pelbagai kesalahan, sekiranya perkara ini benar menjadi satu kesalahan yang beliau lakukan saya percaya ini juga boleh menjadikan satu titik permulaan kepada isu yang besar yang terpaksa beliau tanggung," katanya ketika temubual eksklusif bersama Antarapos.
 
Tambahnya, skandal Paya Indah Wetlands sudah tentu akan meletakkan jawatan Azmin dalam risiko sekiranya terbukti Timbalan Presiden PKR itu ada melakukan kesalahan dalam penukaran status pertanian kepada komersial di lot tanah 68054 yang dikatakan milik kawasan hijau berkenaan. 
 
"Kebetulan pula Selangor adalah negeri yang maju sekiranya perkara ini betul-betul menjadi kesalahan, sudah pasti ini akan mengheret beliau ke kancah ancaman jawatan Menteri Besar kerana ia adalah satu jawatan yang panas. Ini akan menjadi beliau sentiasa diintai dengan segala kesalahan sama ada kecil atau besar," katanya.
 
Sebelum ini pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard giat membuat pendedahan mengenai salah laku Azmin, berhubung kontroversi penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah Wetlands.
 
Chegubard mendakwa kerajaan negeri pimpinan Azmin memulakan usaha pelengkungan semula Paya Indah Wetlands di lot berkenaan.
 
Kerajaan negeri melalui Exconya, Elizebeth Wong menafikan dakwaan Chegubard sambil menegaskan lot berkenaan bukan sebahagian daripada Paya Indah Wetlands.
 
Dalam perkembangan terbaru, Chegubard tampil membuat laporan kepada SPRM dan turut mendakwa Ketua AMK Gombak, Zainol Abidin Mohamad sebagai proksi Azmin dalam kontroversi Paya Indah Wetlands.  
 
"Kesalahan (tukar status tanah) Paya Indah Wetlands adalah satu kesalahan yang besar sekiranya ia benar-benar menjadi kesalahan beliau," kata Dr Shamsul merujuk kepada dakwaan Chegubard.
 
Chegubard pada 26 Ogos lalu membuat laporan dan menyerahkan bukti dan maklumat kepada SPRM berhubung skandal berkenaan.
 
Bagaimanapun, dakwaan Chegubard itu dinafikan Azmin dan bersedia untuk disiasat berhubung tuduhan berkenaan

Tiada ulasan: