HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2016

KJ minta sedikit masa teliti 'pendrive' TMJ

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, segala maklumat berhubung ketirisan dan salah laku Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya boleh didedahkan selepas beliau selesai menelitinya.
 
Menurut Khairy, setakat malam tadi dia baru saja sempat meneliti beberapa halaman bukti tersebut kerana terlalu sibuk dengan tugasan kerjanya. 
 
Justeru, beliau yang ditemui ketika sidang media pelancaran Hari Sukan Negara (HSN) 21 Kilometer sebentar tadi, di sini, meminta semua pihak menunggu dengan penuh sabar sebelum ia didedahkan. 
 
"Saya baru menerimanya Jumaat lalu, dan saya belum sempat menelitinya kerana pada Sabtu sibuk dengan tugasan di kawasan saya (Rembau). Ahad pula sibuk dengan program Fit Malaysia. 
 
"Saya hanya mula membacanya malam tadi dan tidak mungkin saya dapat habiskan 279 halaman dalam satu malam. Beri saya sedikit masa lagi sebelum saya kongsi dengan anda semua," katanya sebentar tadi. 
 
Jumaat lalu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyerahkan pendrive tersebut kepada Khairy untuk mengambil tindakan selanjutnya.
 
Pada Julai lalu, Tunku Ismail mendakwa memiliki pendrive yang menyimpan pelbagai maklumat berkaitan FAM yang diperoleh daripada rakan-rakan yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
 
 
 
 

Tiada ulasan: