HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2016

Jamal Yunos: RM1000 setiap perwakilan Umno Sg Besar ganti lawatan Dubai

 
Dianggarkan lebih 600 perwakilan yang hadir ke mesyuarat perwakilan hari ini akan menerima jumlah wang yang dijanjikan oleh Jamal. 


Dubai


SUNGAI BESAR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos akan menawarkan RM1000 untuk setiap perwakilan yang menghadiri mesyuarat bahagian selepas tidak dapat menunaikan janjinya menaja mereka lawatan ke Dubai.

Dianggarkan lebih 600 perwakilan yang hadir ke mesyuarat perwakilan hari ini akan menerima jumlah wang yang dijanjikan oleh Jamal.

“Lima bulan lalu, saya berjanji kepada pemimpin bahagian dan ahli-ahli jawatankuasa (Sungai Besar) untuk membawa mereka bercuti ke Dubai sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Namun, oleh kerana hanya 81 daripada 115 pemimpin bahagian yang boleh menyertainya, saya mengambil keputusan batal lawatan itu.

“Saya tidak mahu sesiapa (yang tidak boleh pergi) untuk merasa kecewa.

“Sebaliknya, saya akan memberikan RM1,000 kepada setiap seorang perwakilan di sini hari ini,” kata Jamal pada mesyuarat Umno Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Bagaimanapun, bayaran itu akan dibuat dalam dua ansuran iaitu RM500 dibayar hari ini dan baki RM500 akan diberikan pada tahun depan.

Pengumuman yang tidak diduga ini diraikan dengan sorakan dan tepukan oleh perwakilan yang hadir.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Biro Teknologi Maklumat Umno Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua Umno Selangor Tan Sri Noh Omar, dan Ahli Parlimen Sungai Besar yang baru dipilih, Budiman Mohd Zohdi.

Bercakap lanjut, Jamal menyeru supaya ahli Umno terus bersatu demi memastikan satu lagi kebangkitan kemenangan pada tahun 2018, iaitu pada pilihan raya umum yang dijangka diadakan.

Ujarnya, perpecahan hanya akan membawa kepada prestasi yang lemah seperti dalam pilihan raya umum lepas.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Jamal berkata anggota Umno perlu kekal bersatu walaupun “diganggu” pemimpin terdahulu yang mana kekuatan dan keupayaan mereka memimpin parti itu selama 22 tahun datang dari akar umbi parti Melayu itu sendiri.

Tiada ulasan: