HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Ogos 2016

Operasi ‘siasatan’, ‘tangkapan’ diteruskan – SPRM

INTAN NUR IDAYU


sprm


KUALA LUMPUR: Selepas beberapa individu bergelar  ‘Tan Sri’, ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ ditahan kerana terlibat dengan rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak akan ada lebih ramai individu yang akan ditahan selepas ini.

Menurut Timbalan Pengarah Siasatan SPRM, Fikri Abdul Halim, SPRM tidak akan teragak-agak untuk memanggil mana-mana individu sekiranya ada nama-nama baru yang akan ‘keluar’ dalam masa terdekat.

“Kalau ada nama-nama baru keluar, kita akan panggil. SPRM tidak menolak sekiranya penahanan seterusnya dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Times (TMT) hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah berapa ramai lagi yang akan ditahan dan bilakah tangkapan seterusnya akan dibuat.

TIADA KAITAN
 
Selain itu, beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa penahanan yang dibuat oleh SPRM terhadap ‘Tan Sri’ semalam mempunyai kaitan dengan sebarang  kes sebelum ini.

“Ini adalah kes yang baru. Tak ada kaitan dengan kes sebelum ini,” ujarnya

Semntara itu , dalam perkembangan yang berkaitan “ Tan Sri” yang ditahan semalam yang juga merupakan  Pengerusi sebuah bank dikenakan perintah reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana penerbitan buku bernilai RM15 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman lelaki berusia 65 itu, sehingga 5 Sept.

Lelaki itu tampil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pejabat SPRM Putrajaya dan ditahan pada 3 petang semalam.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata semalam akaun bank Tan Sri itu mengandungi wang hampir RM1 juta telah dibekukan.

Tan Sri berkenaan adalah orang ketiga daripada bank itu ditahan SPRM berhubung kes yang sama.

Sementara itu, empat lelaki termasuk pengarah urusan bank yang sama bergelar Datuk, bekas pengarah perolehan bank dan dua pemilik syarikat penerbitan yang tamat tempoh reman hari ini dibebaskan SPRM setelah siasatan selesai, hari ini .

Setakat ini, tujuh individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes itu dan empat daripada mereka dibebaskan hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.


Tiada ulasan: