HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Ogos 2016

‘Johari sengaja nak malukan Najib’ – Rafizi

INTAN NUR IDAYU


Rafizi-Najib


KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani memang sengaja mahu memalukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan memberi alasan kononnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan untuk membantu nasib malang yang menimpa sekumpulan kontraktor Bumiputra yang dimangsakan atas kegagalan sebuah projek komersil di Kerteh, Terengganu.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, beliau ingin mengingatkan Johari bahawa sebelum ini Najib telah didakwa menulis surat kepada Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) ketika itu meminta supaya MOSTI mempertimbangkan permohonan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek yang diusahakan oleh NSE Resources Sdn Bhd (NSE).

“Pada 21 Januari 2014, Dr Ewon Ebin mengeluarkan surat kepada NSE menyatakan kelulusan pada prinsipnya untuk memberikan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek komersil tersebut (dengan merujuk kepada surat asal dari NSE).

“Oleh sebab itulah, kenyataan Johari semalam memerangkap Najib kerana ia menimbulkan kembali isu yang saya dedahkan dahulu mengenai pengurusan geran R&D yang terdedah kepada penyelewengan akibat campur tangan pihak lain,” kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini. 

Tegas Rafizi yang juga merupakan Naib Presiden PKR itu lagi, tindakan Najib membiarkan kontraktor-kontraktor Bumiputra ini terkontang-kanting hingga ada yang dikejar Along adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kontraktor-kontraktor ini memulakan kerja berdasarkan tindakan Najib yang memberi isyarat bersetuju memberikan geran R&D RM100 juta itu. 

“Dalam keadaan sekarang, saya mendesak Najib bertanggungjawab kepada nasib kontraktor-kontraktor ini. Beliau boleh membantu dengan dua cara, iaitu sama ada menggunakan gaji beliau dan simpanan beliau yang sering mendapat derma untuk melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor ini.

“Ataupun menghubungi penderma-penderma beliau untuk mengumpul jumlah yang diperlukan bagi melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor kerana Najib mempunyai ramai kenalan yang pemurah sehingga pernah menderma RM2.6 bilion kepada beliau.

“Saya akan membawa kembali isu ini sehinggalah pihak yang bertanggungjawab tampil untuk menerima tanggungjawab tersebut,” jelas Ahli Parlimen Pandan itu. 

Walaubagaimanapun, sejak dari tahun 2014 lagi, MOSTI dan juga Syarikat NSE Resource Corporation (M) Sdn. Bhd telah menafikan dakwaan yang telah dibuat oleh Rafizi berhubung isu ini malah mereka turut menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya. 


Tiada ulasan: