HALAMAN SANTAI

Ahad, 28 Ogos 2016

Jangan jadikan Kuala Lumpur bandar maksiat

HARAKAHDAILY 





Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengingatkan pihak berkuasa Kuala Lumpur (KL) tidak menjadikan bandar raya KL menjadi bandar yang dikenali sebagai bandar raya maksiat.

Cukup dengan ribuan bilangan pelacur dari luar negara yang kini membanjiri KL dan bandar-bandar utama dalam negara, membuka ruang pemilik lesen rumah urut akan menambahkan masalah yang sedia ada.

Malaysia kini mendudukki tangga ke-8 di dunia dalam nisbah pelacur iaitu 52 orang pelacur bagi setiap 10,000 penduduk berbanding Thailand yang menduduki tangga ke-10 iaitu 45 orang pelacur setiap 10,000 penduduk. Industri pelacuran di Malaysia sudah mencecah nilai lebih RM3.6 bilion.

Melihat kepada operasi pusat urut dan pusat hiburan yang bercambah di sekitar KL bermakna KL berpotensi menjadi pusat pelacuran Asia, jika ruang dan peluang dibuka untuk beroperasi secara berlesen.

Kami membantah keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka semula permohonan lesen baharu rumah urut sekitar ibu kota.

Soalnya, apakah keperluan rumah urut dibiar bercambah sedangkan pihak berkuasa gagal melaksanakan penguatkuasaan sehingga ratusan rumah urut yang sedia ada cenderung untuk menawar khidmat seksual yang menyalahi undang-undang.

Pihak berkuasa tidak harus hanya memikirkan soal permintaan sedangkan pemantauan dan penguatkuasaan mana-mana pihak yang menyalahguna lesen ternyata gagal dilaksanakan dengan berkesan.

Kami amat khuatir dengan percambahan pusat-pusat urut di kota raya dan bandar-bandar utama di negara ini ia akan membuka peluang untuk kegiatan maksiat dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan.

Adalah lebih wajar rumah urut yang sedia ada dipantau dan dikawal sebelum memikirkan untuk membuka permohonan lesen baharu yang akhirnya tidak mampu dikawalselia oleh pihak berkuasa.

*  MOHD AZMI ABDUL HAMID, Presiden Mapim

Tiada ulasan: