KUALA LUMPUR: Dasar Transformasi Nasional (DTN) yang masuk tahun
ketujuh pelaksanaannya terus membuahkan hasil memberangsangkan sekaligus
menyangkal tohmahan segelintir pihak bahawa Malaysia adalah negara yang
gagal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata dengan mengambil contoh pembentangan laporan Program
Transformasi Negara pada April lalu, Program Transformasi Kerajaan (GTP)
dalam aspek Bidang Keberhasilan Utama Negara telah mencapai 99 peratus
indeks prestasi utama (KPI) penyampaiannya.
“Bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP), menerusi Bidang Ekonomi Utama
Negara, kita telah Berjaya mencapai angka 111 peratus KPI manakala
melalui inisiatif Pembaharuan Strategik pula, KPI telah menjangkau
sasaran 108 peratus,” katanya dalam ucapan Amanat Merdeka 2016, sempena
Hari Kemerdekaan Negara yang Ke-59, di sini, malam tadi.
Najib berkata usaha keras Kerajaan dan pelbagai agensinya mendapat
pengiktirafan organisasi antarabangsa antaranya Forum Ekonomi Dunia yang
meletakkan Malaysia di tangga ke-18 dalam Laporan Daya Saing Global.
Selain itu, katanya, menurut Ranking Daya Saing Global Forum Ekonomi
Dunia 2015-2016, Malaysia berada di tangga ke-9, satu-satunya pasaran
sedang pesat membangun yang tersenarai dalam sepuluh negara teratas.
“Malaysia juga diiktiraf oleh laporan Bank Dunia, dari segi Mudah
Menjalankan Perniagaan, pada kedudukan ke-21 pada 2010, dan telah naik
ke tangga ke-18 pada tahun 2015,” katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia turut menjadi sebuah negara Islam
contoh yang progresif dan dinamik serta diteladani sebagai contoh ikutan
yang berpegang kepada prinsip wasatiyyah dan telah menduduki tangga
pertama Petunjuk Ekonomi Global Islam 2014-2015 daripada senarai 70 buah
negara.
Selain itu, katanya, Malaysia adalah negara penerbit sukuk terbesar
dunia, merangkumi hampir 55 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul
global yang bernilai melebihi US$320 bilion setakat penghujung 2015.
Meskipun negara menghadapi ketidaktentuan dan kesuraman ekonomi global,
keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada suku kedua berjaya mencatat
perkembangan sebanyak empat peratus, kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan