HALAMAN SANTAI

Rabu, 31 Ogos 2016

Mapim gesa polis bertindak ke atas penganjur anugerah hina mufti

 
Mapim khuatir tindakan menghina mufti mengundang kemarahan masyarakat yang mahu kemuliaan agama rasmi Persekutuan dilindungi. 


Aiyoh Wat Lah


PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa polis supaya mengambil tindakan terhadap penganjur ‘Aiyoh Wat Lah’ selepas didapati menghina Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menerusi penyampaian anugerah ‘hina intelek’.

Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan penganjur mengheret nama mufti di majlis tersebut jelas biadab dan tidak bertamadun.

“Kumpulan yang menyokong dan terlibat dalam penganjuran majlis tersebut terperangkap dengan sikap liberalisme melampau di Barat sehingga membenarkan apa sahaja, termasuk agama, syiar agama dan tokoh agama bebas untuk dipersenda dan dihina.

“Tindakan ini melambangkan pegangan sekular dan liberal yang dianuti oleh mereka sehingga adab dan disiplin ilmu diketepi sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI) merupakan penganjur anugerah “Aiyoh Wat Lah” yang disebut Mapim.

Harussani dinamakan dalam kategori anugerah ucapan tidak masuk akal (hina intelek) ekoran kenyataannya pada April 2015 yang mewajibkan isteri mengadakan hubungan seks dengan suami walaupun “mereka menunggang di belakang unta”, memetik apa didakwanya sebahagian daripada hadis.

Tambah Mohd Azmi, Harussani adalah seorang ulama dan hujah yang dinyatakan berdasarkan dalil dan nas-nas dalam disiplim ilmu Islam.

Ekoran itu, beliau khuatir tindakan menghina mufti akan mengundang kemarahan masyarakat yang mahu kemuliaan agama rasmi Persekutuan dilindungi.

“Anugerah tahunan yang masuk tahun keenam itu perlu dipantau supaya penganjur tidak dengan sewenang-wenangnya mencetuskan kontroversi,” ujarnya.

Sebelum ini, PAS dan Perkasa turut mengecam tindakan penganjur yang menamakan Harussani sebagai salah seorang pemenang anugerah bersifat mengajuk itu.

Turut dinamakan dalam “anugerah” itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Harussani ketika dihubungi FMT pula mempertahankan kenyataannya, sambil membidas penganjur sebagai “jahil murakkab (berganda-ganda)”.

Kenyataan itu bagaimanapun disanggah pendakwah Wan Ji Wan Hussin yang menyatakan hadis dibawa Harussani itu adalah hadis bersifat daif (lemah) iaitu kategori paling lemah dalam menilai kualiti sesebuah hadis, disebabkan “sanad”, atau rangkaian perawi, yang lemah.

Anugerah sindiran itu dianjurkan bagi memastikan pegawai awam bertanggungjawab ke atas kenyataan atau tindakan mereka, dan “pemenang” kerap dinamakan atas kenyataan seksis atau tidak masuk akal.

Tiada ulasan: