HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2016

Menteri akui IPU tidak ikut bacaan waktu sebenar

 
Bacaan IPU diambil kira mengikut bacaan yang distrukturkan dalam tempoh 24 jam terakhir.


wan-junaidi-jerebu


PETALING JAYA: Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengakui bahawa bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak mengikut waktu sebenar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata, bacaan IPU diambil kira mengikut bacaan yang distrukturkan dalam tempoh 24 jam terakhir.

“Pada pagi tadi bacaan IPU masih lagi tahap sederhana. Tetapi walaubagaimanapun, bila lihat keadaan khususnya di kawasan Putrajaya, nampak kabus.

“Saya sudah minta pegawai saya periksa bacaan terbaru. Oleh kerana bacaan IPU adalah 24 struktur, bukannya immediate (terdekat) ataupun waktu sebenar (real time),” katanya ketika dihubungi FMT.

Ujar Wan Junaidi, keadaan kabus pada ketika ini bukanlah disebabkan jerebu tetapi disebabkan habuk yang berkeliaran (floating particle).

“Pembacaan PM10 ini bukan jerebu, PM10 ialah bacaan kepekatan habuk yang berkeliaran (floating particle).

“Kepekatan habuk sekarang menunjukkan bacaan 150. Itu berlainan dengan jerebu, ia bukan jerebu, itu habuk,” katanya lagi.

Pada masa sama, Wan Junaidi menyatakan pada ketika ini berlaku kebakaran tanah gambut di Riau, Sumatera.

“Disebabkan tanah gambut sukar hendak dipadam, kadang dia nampak sudah dipadam, tetapi api dalam tanah itu akan keluar semula,” jelasnya.

Tiada ulasan: