HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2016

Kembara ke Makkah: Kumpulan Wazi sudah tempuh 632km

Wazi pilih tunai haji naik kapcai
Perkongsian kembara Wazi dan rakan-rakan yang tiba dari Quetta (Pakistan) ke Taftan (Iran). - Foto ehsan Instagram TV Alhijrah.
 
SHAH ALAM - Pelumba legenda kebangsaan, Wazi Abdul Hamid, 45, yang kini dalam perjalanan menunaikan ibadah haji di Mekah, baru sahaja melengkapkan perjalanan dari Quetta (Pakistan) ke Taftan (Iran).

Perjalanan yang menggunakan motosikal berkuasa rendah atau lebih dikenali kapcai diketuai Wazi bersama lima lagi rakannya, Meor Azhar Meor Raflan, 43; Hanapiah Mat Nor, 50; Azman Baharudin, 52; Othman Darus, 49; dan Mohd Hafizuddin Zulkarnain, 25, yang juga penunggang berpengalaman akan mengembara selama 35 hingga 45 hari ke Tanah Suci Makkah sempena program Ride To Hajj 2016 yang telah bermula 29 Julai lalu.

Menerusi perkongsian Instagram TV Alhijrah hari ini, yang  berkongsi gambar mereka di sana turut menzahirkan ucapan doa semoga kembara mereka dipermudahkan-NYA.

"Hebat motor buatan Malaysia Perjalanan selama 7 jam ditempuh oleh 'Tim Ride To Hajj' yang diketuai oleh Wazi Abd Hamid. Jarak sejauh 632km satu jarak yang panjang. Tahniah! Semoga perjalanan seterusnya dipermudahkan," petik perkongsian itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wazi pilih tunai haji naik kapcai]

Kesemua mereka menaiki motosikal tajaan Modenas dari model GT128 edisi Harimau Malaya.

Pengembaraan itu bakal merentasi lapan negara melibatkan Thailand, Myanmar, India, Pakistan, Iran, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi, yang akan meliputi perjalanan sejauh 12,500km ke tanah suci Makkah.

Misi ini dijangka  tiba di sempadan Arab pada 5 September ini.

Sementara itu,  menurut Wazi  dua daripada lima motosikal yang digunakan mereka akan diwakafkan kepada persatuan pelajar di Mekah dan selebihnya akan dibawa pulang ke Malaysia untuk dipamerkan kepada orang ramai selepas jelajah itu nanti.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan kesemua peserta di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tiada ulasan: