Alyaa Alhadjri
Aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof mendapat perhatian kerana
menjadi jurucakap bagi Gabungan Tangkap Malaysian Official One.
Secara berseloroh, aktivis berusia 24 tahun itu menceritakan
bagaimana dia menunggang skuter seorang diri dan sesat selama hampir
satu jam ketika mahu ke pejabat Malaysiakini untuk di temubual.
"Semalam saya tidur pada pukul 4 pagi," katanya - satu lagi malam
yang panjang selepas dua minggu dia membuat penampilan awam, menghadiri
sidang akhbar, temubual, pameran bergerak dan ditangkap menjelang
perhimpunan # TangkapMO1 di Kuala Lumpur esok.
Malah, kata Anis Syafiqah, dia tidak ada masa untuk melihat adik
lelakinya yang berlepas ke Indonesia untuk melanjutkan pelajaran, atau
meluangkan masa untuk bersama adik perempuannya yang baru pulang dari
Jordan.
Anak sulung daripada lima adik beradik ini tidak pernah membayangkan
bahawa satu hari nanti dia akan mengetuai gerakan pelajar untuk mendesak
pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Malaysian Official 1 - nama
yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk
mendapatkan kembali hampir AS$1 bilion aset yang dikaitkan dengan 1MDB.
Mengimbau semasa dia di sekolah menengah, masanya dihabiskan belajar
untuk menghafal al-Quran dan dia kemudian meneruskan pengajian di
peringkat diploma dalam Pengajian al-Quran.
Hanya secara kebetulan Anis Syafiqah akhirnya melanjutkan pelajaran
dalam bidang Bahasa dan Linguistik di Universiti Malaya -
lubuk bersejarah aktivisme pelajar - kerana tawaran lain untuknya adalah
kursus peringkat ijazah di sebuah lagi universiti tempatan.
Cita-citanya adalah untuk menjadi pensyarah, bagi mengikut jejak
langkah ibu bapanya yang kedua-duanya menjadi guru di sekolah rendah dan
sekolah menengah di Sungai Besar, Selangor.
Sebagai seorang gadis remaja, Anis Syafiqah mengaitkan minatnya dalam
isu-isu semasa dengan ayahnya, yang mengajar STPM peringkat Pengajian
Am.
Tetapi dia juga pantas menambah bahawa ayahnya selalu mengelak
daripada doktrin politik partisan, walaupun pernah menjadi pemimpin
cawangan sebuah parti Islam.
Prinsip yang sama dipegang oleh Anis Syafiqah dalam peranannya
sebagai pemimpin pelajar, dan juga apabila meyakinkan rakan-rakan
pelajar dari institusi lain untuk bersatu dan menyokong perhimpunan
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan