Siapa pernah kena diabetes atau kencing manis masa mengandung? Tentu anda akan jadi trauma bila mengandung sekali lagi. Tertanya-tanya adakah ia akan berlaku lagi dalam kehamilan seterusnya?
Tidak ada seorang pun ibu hamil yang mahu diri mereka dijangkiti penyakit kencing manis ketika mengandung. Terbayang pelbagai kepayahan yang perlu dihadapi serta penjagaan rapi yang mesti dilalui.
Itu belum lagi bab melahirkan bayi yang mana ibu hamil berdiabetes mempunyai pelbagai komplikasi dan risiko tinggi ketika bersalin.
Dr.Norintan Zainal Shah, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, menyarankan beberapa perkara yang mesti dilakukan oleh bakal ibu bagi mengelakkan diabetes.
1. Membuat pemeriksaan perubatan untuk memastikan tahap glukos dalam darah berada di paras normal dan bukannya di dalam kategori kencing manis atau diabetes.
2. Sekiranya keputusan darah termasuk di dalam kategori pesakit kencing manis (diabetes mellitus), anda perlu bertemu doktor dan mengawal tahap glukos sebelum cuba untuk hamil kerana bimbang tahap glukos yang tinggi dan tidak terkawal boleh menyebabkan kecacatan kepada bayi seperti penyakit jantung kongenital.
3. Tetapi sekiranya keputusan darah didapati normal, anda boleh cuba untuk hamil. Bagaimanapun ketika hamil, hormon kehamilan boleh menyebabkan paras glukos di dalam badan meningkat lebih tinggi daripada biasa. Ia dinamakan sebagai gestational diabetes yang hanya berlaku ketika hamil dan 'hilang' selepas bayi dilahirkan.
4. Kawal pengambilan makanan dan minuman manis. Glukos berasal dari gula yang ditambah ke dalam makanan, minuman serta sumber makanan berkarbohidrat. Kurangkan pengambilan gula sama ada dalam makanan atau minuman. Sebaiknya tukar kepada air tanpa gula!
5. Rajin lakukan senaman sebelum merancang untuk hamil. Ia penting untuk membina otot bagi membakar glukosa dan membolehkan anda mencapai berat badan yang ideal sebelum hamil.
6. Elakkan mengambil makanan karbohidrat ringkas secara sederhana. Sebaiknya gantikan dengan karbohidrat kompleks seperti nasi beras perang, roti mil penuh atau bijirin penuh.
7. Makan buah-buahan yang manis secara sederhana manakala banyakkan makan sayur-sayuran berdaun.
Sebenarnya sejarah kencing manis di dalam keluarga adalah satu risiko untuk mendapat penyakit ini ketika hamil. Jadi, sebaiknya lakukan pengawalan pemakanan dan penjagaan kesihatan serta rajin bersenam sebelum merancang untuk hamil lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan