HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Ogos 2016

Tindakan tegas jika abai imunisasi anak



Tindakan tegas jika abai imunisasi anak
Gambar hiasan


IPOH - Jabatan Kesihatan Perak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa yang mengabaikan kesihatan anak-anak mereka dengan enggan membenarkan imunisasi.

Pengarahnya, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, tindakan diambil mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah kesalahan berhubung dengan kesihatan dan kebajikan kanak-kanak.

“Kami sudah bermesyuarat baru-baru ini dan bersetuju jika ada kanak-kanak yang menghidap penyakit berjangkit dan siasatan mendapati ia berpunca daripada tindakan ibu bapa yang enggan membenarkan anak mereka diberi imunisasi maka, tindakan undang-undang akan diambil.

“Siasatan mendalam akan dilakukan sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menguatkuasakan di bawah akta berkenaan, namun setakat ini tiada ibu bapa dikenakan tindakan di atas perkara itu,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu diambil berikutan peningkatan jumlah ibu bapa menolak imunisasi meningkat dua kali ganda kepada 246 kes berbanding tahun lalu dan Perak dikenal pasti antara empat negeri tertinggi di negara ini.

Katanya, pihaknya turut menjalankan kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bagi memberi kaunseling kepada ibu bapa yang meragui status halal vaksin.

“Selain itu, ada ibu bapa meragui kesan sampingan vaksin yang diberikan serta lebih mempercayai perubatan alternatif dan pendapatan golongan anti vaksin yang sedang bergerak aktif.

“Ada kes apabila jururawat yang membuat lawatan susulan ke rumah-rumah, mereka tidak dibenarkan untuk masuk untuk pemeriksaan kesihatan. Kebanyakan kes berlaku melibatkan ibu bapa daripada golongan profesional dan berpendidikan,” katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes difteria berlaku di Perak membabitkan kanak-kanak perempuan berusia empat tahun selepas dikesan mengalami demam, batuk dan sakit tekak sejak 12 Ogos lalu.

Sementara itu, ibu bapa yang ditemui menyokong tindakan tegas diambil terhadap mereka yang didapati mengabaikan kesihatan anak.

Shahinaz Che Juari, 29, berkata, tindakan undang-undang itu boleh dijadikan peringatan kepada keluarga lain supaya lebih prihatin terhadap keperluan kesihatan anak.

Menurutnya, mengambil contoh pengambilan vaksin ini, meskipun sudah dijelaskan dengan terperinci oleh kementerian, masih terdapat segelintir ibu bapa yang menolak.

“Sebagai penjaga kita kena peka terhadap keperluan anak, ini untuk masa depan mereka, jadi wajarlah tindakan tegas digunakan untuk mereka yang cuai,” katanya.

Bagi Roszuati Zahari, 33, penegasan itu sepatutnya dilakukan lebih awal bagi menunjukkan pentingnya imunisasi

Tiada ulasan: