HALAMAN SANTAI

Isnin, 21 November 2016

Angka korban boleh muat satu stadium

'Pusara di Jalan Raya: Sampai Bila?


SHAH ALAM - Angka korban di jalan raya dalam tempoh lima tahun di negara ini boleh memuatkan satu stadium.

Ini kerana menurut Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/ Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, negara ini mencatatkan tidak kurang 18 kematian setiap hari.

"Dalam masa lima tahun, angka kematian mencecah 40,000 orang. Boleh muat satu stadium.

"Memang betul kematian itu qada dan qadar, tetapi kita perlu usaha elakkan," katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri ke-43: ‘Pusara di Jalan Raya: Sampai Bila?' di sini, hari ini.

Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan indeks kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia tahun lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi pada 19 November lalu berkata, ini berikutan terdapat 2.55 kematian dicatatkan bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara ini sepanjang tempoh itu.

Beliau berkata angka itu dianggap tinggi berbanding negara maju seperti United Kingdom, Sweden dan Australia yang hanya merekodkan kurang daripada dua kematian bagi setiap 10,000 kenderaan berdaftar di negara berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia antara negara tertinggi kemalangan di dunia]

Menurut Ruslan lagi, terdapat banyak faktor yang menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

Antaranya termasuk sikap manusia dan masalah teknikal kenderaan.

"Ada antara kita seolah-olah ada masalah psikologi, sikap yang baik dan sopan boleh berubah sebaik sahaja seseorang itu duduk di belakang stereng.

"Ada antara kita yang bangga dengan dosa-dosa yang kita buat atas jalan raya. Ini adalah budaya pemanduan yang ada dalam kalangan pemandu jalan raya," katanya lagi.


Tiada ulasan: