Langkah kerajaan Umno-BN membenarkan usul Rang Undang-Undang 355 hanya dibaca tanpa dibahas di Dewan Rakyat hari ini disifatkan satu perangkap untuk parti itu berhadapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Datuk Husam Musa yakin tindakan kerajaan BN membenarkan Ahli Parlimen Marang membaca usul itu hari ini, menandakan bahawa PRU14 akan diadakan sebelum Parlimen bersidang Mac depan.
"Umno berjaya menggantungkan isu 'perlaksanaan hudud' di 'titik keseimbangan' atau 'equilibrium point'.
"Ia bagus untuk Pas tidak dilihat gagal dalam pendekatannya. Juga sebagai penyedap rasa untuk berterusan dalam senggama politik antara Pas dan Umno khususnya untuk PRU terdekat," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu juga berkata, dengan bacaan RUU 355 itu hari ini, Umno cuba memperlihatkan imej mereka sebagai jujur dalam memartabatkan hukum Islam dan pada masa yang sama Pas pula tidak dilihat sudah dipermainkan.
"Ia resipi yang mustajab, win win untuk tiga pihak menghadapi PRU secara 'smart partnership'," katanya lagi.
Beberapa jangkaan katanya boleh dibuat dengan perkembangan yang berlaku hari ini.
Ini termasuk jangkaan bahawa PRU14 akan diadakan sebelum bulan Ramadan tahun hadapan sama ada Mac atau April bagi mengelakkan RUU 355 dibahaskan sehingga menganggu 'keseimbangan' yang terwujud pada hari ini, kata Husam."Pas adalah rakan Umno BN dalam permainan 'segi tiga' atau 'triangle equation' sampai PRU. Bagi mereka yang masih mengharapkan Pas bersama dengan pakatan pembangkang, akhirnya akan menggigit jari.
"Matlamat Umno adalah untuk mendapat majoriti dua pertiga dengan pertolongan Pas. Apa akan jadi dengan RUU 355 selepas PRU adalah ditentukan selepas PRU," katanya.
Lebih licik kata Husam, tindakan itu dirancang Umno bagi memerangkap sebahagian rakyat khususnya pengundi Islam antara sentimen RUU 355 dan isu nyata yang sedang dihadapi mereka.
Ia termasuk himpitan kos sara hidup, rasuah, penyelewengan, hutang negara dan ancaman krisis kewangan dan implikasi pengaruh Republik Rakyat China ke atas geopolitik, ekonomi, sosial dan keselamatan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan