REAKSI media arus perdana (MAP) terhadap tunjuk perasaan
aman Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) siri kelima Ahad lalu tidak
memeranjatkan.
Mereka sangat terdesak untuk menggambarkan gerakan rakyat
itu sebagai ganas, perkauman dan gagal. Yang paling menekan peneraju dan tukang
karut MAP ialah penyertaan ramai orang Melayu dalam Bersih 5.
Hakikat itu mematikan hujah kegemaran MAP selama ini
iaitu Bersih adalah gerakan perkauman yang didukung oleh orang Cina, ditaja
oleh pembangkang dan diarah oleh DAP.
Tun Dr Mahathir sertai Bersih 5 |
Orang luar mingkin tidak berapa faham mengenai keterdesakan (desperation) MAP, khususnya selepas Bersih 5 apabila bilangan peserta Melayu boleh dikatakan sama atau lebih daripada bukan Melayu.
Tetapi bekas pengarang dan wartawan MAP seperti Mustapha
Kamil (New Straits Times), Ku Seman Ku Hussain (Utusan Malaysia), Imlan Abadi
(Berita Harian) dan ramai lagi faham.
Mustapha dalam entri Facebooknya, antara lain, menulis:
“The NST can call the rally whatever it wishes. The society have already
written off the 171-year old newspaper, largely on account that over the decades,
its inability to tell the truth has declined exponentially.”
(NST boleh menggelar perhimpunan itu apa saja yang
disukainya. Masyarakat telah menyisihkan akhbar berusia 171 tahun itu kerana kemampuannya
untuk menyatakan kebenaran telah jatuh merudum sejak beberapa dekad
kebelakangan ini.)
Penghakiman Mustapha sukar dipertikaikan kerana beliau
baru sahaja berhenti daripada menjadi pengarang akhbar itu. Kini, Facebook
beliau yang kritikal terhadap Barisan Nasional, Umno dan pemerintahan Perdana
Menteri, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan
Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, adalah antara yang paling ramai pengikut.
Saya cukup faham kerana saya sendiri mengambil keputusan
sukar untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan New Straits
Times Press (NSTP) pada tahun 2000 kerana tidak berdaya lagi melayan kerenah
sesetengah ahli majlis tertinggi Umno.
Selama saya mengenali Mustapha, bahasa pengantar beliau adalah
Inggeris. Jadi saya agak terperanjat membaca nukilan beliau dalam bahasa Melayu
yang mengagumkan – lancar, mudah dan fokus.
Seorang lagi wartawan MAP yang mengambil langkah
membebaskan diri daripada putar belit adalah Ku Seman yang baru-baru ini
meninggalkan Utusan Malaysia. Dalam ulasannya kepada komen Mustapha, beliau
berkata: “Mus, pukul 11 pagi semalam saya dah tahu tajuk akhbar-akhbar kita.
Syukur saya dah lama tak baca. Baca Astro Awani online saja.”
MAP semakin tidak berkesan sebagai ejen propaganda |
Imlan Abadi, bekas wartawan kanan Bertia Harian dalam posting Facebooknya pula, antara lain, berkata: “Hari ini akhbar online jadi tumpuan saya dan warga dunia. Ia paling murah dan mudah dicapai. Wibawa media juga boleh dinikmati melalui tulisan yang juga berwibawa. Akhbar yang kurang wibawa tentunya bukan aset untuk minda. Selamat membaca. Bacalah akhbar berwibawa seperti juga baca kehidupan yang lebih fokus."
Awan Hitam Selubungi MAP
MAP sukar melakukan perubahan agar senada dengan perubahan ekonomi, selera audiens dan teknologi kerana mereka dikongkong oleh pemilik dan pemerintah.
Akibatnya, pengedaran akhbar dan penontonan televisyen, kecuali segmen hiburan, sukan dan agama, telah jatuh merudum. Pengedaran akhbar yang memuncak pada tahun 1990-an mula mendatar pada awal tahun 2000.
Terdapat kaitan yang rapat di antara pengedaran akhbar dengan sentimen politik prokerajaan dan anti-kerajaan. Contohnya, populariti MAP pada tahun 1990-an sampai awal 2000 disertai oleh kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 1995, 1999 dan paling gemilang 2004.
Tetapi Tun Abdullah Ahmad Badawi gagal mengekalkan populariti PRU 2004 apabila beliau memperkenalkan dasar yang tidak popular seperti mengurangkan subsidi petroleum dan membiarkan budak-budak Tingkat 4 “merampas” kuasa. Peristiwa ini diekori serta-merta oleh kejatuhan audiens MAP, khususnya yang dimiliki oleh kerajaan dan parti-parti BN.
Pada pilihan raya 2008, BN yang dipimpin oleh Abdullah, kehilangan suara dua pertiga dan dengannya nasib MAP milik Umno/BN menjadi semakin malang. Keadaan mereka terus meruncing walaupun Abdullah berundur dan diganti oleh Mohd Najib pada tahun 2009. Pada PRU 2013 pencapaian BN di bawah Mohd Najib lebih hambar daripada PRU 2008.
Kemerosotan ekonomi yang berlaku selepas itu berserta dengan ledakan teknologi komunikasi menyebabkan audiens dan pasaran MAP jatuh merudum. Kecuali Sinar Harian, tren penjualah semua akhbar adalah menurun.
Akhbar bebas terus relevan dan berdaya maju |
Ambil contoh Utusan Malaysia yang berupa lidah rasmi dan pengarak panji-panji Umno. Pengedarannya mencapai kemuncak pada tahun 1990-an di sekitar 350,000 naskhah sehari. Tetapi pada 31 Disember tahun lalu, perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan hariannya jatuh kepada 154,776 naskhah sahaja manakala edisi Ahad yang pernah melepasi setengah juta naskhah turun kepada 336,233.
Berita Harian merosot kepada 106,754 naskhah, Berita
Harian Ahad (109,811), Kosmo (187,967), Kosmo Ahad (205,520), Metro (179,231),
Metro Ahad (207,119). The Star merosot kepada 248,413, The Sunday Star
(246,652) manakala New Straits Times yang bertindak sebagai lidah rasmi
kerajaan dan Umno dalam bahasa Inggeris tinggal 62,113 naskhah sahaja dan New
Sunday Times (64,850).
Begitu juga dengan stesen televisyen kawalan kerajaan dan
milik Umno. Majoriti penonton mereka yang masih tinggal adalah golongan otai yang menonton segmen
agama dan hiburan tempatan manakala golongan muda menonton sukan.
Tiga faktor utama yang menjejas saiz audiens MAP adalah
laporan berat sebelah dan pemutaran fakta, penghijrahan ke media atas talian
dan kuasa membeli yang semakin menguncup akibat kelembapan ekonomi dan kenaikan
kos sara hidup.
Keterdesakan MAP perdana menjadi lebih ketara apabila
kejatuhan pengedaran dan audiens disusuli oleh kejatuhan pendapat iklan.
Kejatuhan pendapatan iklan memberi kesan negatif kepada keuntungan mereka.
Utusan Melayu Berhad, penerbit Utusan Malaysia, misalnya
mengalami kerugian sejak tahun 2012 walaupun telah mengurangkan kakitangan,
melakukan penjimatan dan mendapat “subsidi” daripada Umno. Pembayaran gaji
kakitangan pun ada kalanya tertangguh.
Kemerosotan audiens menjadikan MAP semakin tidak relevan
sebagai ejen propaganda Umno, BN dan kerajaan. Di pihak lain pula, percubaan
Umno, BN dan kerajaan berhijrah ke media atas talian dan sosial nampaknya lebih
membawa mudarat daripada kebaikan. Reaksi audiens terhadap mesej Umno, BN dan
kerajaan amat negatif.
Wallahuaklam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan