HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 November 2016

Rafizi isytihar harta kali ke-2, korban RM500,000 tubuh NGO


 
Penubuhan Invoke Malaysia bakal menjadi pelaburan Rafizi paling bermakna jika BN kalah pada PRU akan datang.


rafizi,th


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengorbankan RM500,000 simpanan peribadinya dalam Tabung Haji untuk menubuhkan NGO, Invoke Malaysia.

Beliau menunaikan janjinya untuk mengisytiharkan harta buat kali ke-2 di pejabat Invoke Malaysia, hari ini.

Dalam dokumen 11 halaman beserta dokumen sokongan, beliau menjelaskan sejumlah RM530,000 dikeluarkan daripada akaun Tabung Haji bermula April hingga September 2016.

“Pada April saya keluarkan RM100,000, Jun RM100,000 dan September RM330,000. RM30,000 untuk pengubahsuaian rumah di Bukit Antarabangsa, manakala baki RM500,000 untuk memulakan NGO Invoke,” katanya.

Katanya, Invoke ditubuhkan dalam usaha mendapatkan undi pengundi atas pagar yang sudah bosan dengan politik kepartian bagi merampas 30 kerusi marginal yang menurutnya kunci menjatuhkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang.

“Saya harap ia pelaburan yang berbaloi. Jika kita berjaya menewaskan BN, ini adalah pelaburan paling bernilai yang pernah saya buat,” katanya lagi.

Rafizi berkata, sebab beliau tidak mengumumkan pengeluaran itu sebelum ini, di saat beliau mengkritik pengurusan Tabung Haji adalah kerana tidak ingin mencetuskan panik di kalangan orang ramai.

“Kalau umum secara terang, ia boleh menyebabkan panik. Saya tahu sebahagian besar penyimpan di situ adalah orang berpendapatan rendah dengan nilai simpanan yang kecil,” katanya yang berhenti memasukkan wang bermula Februari selepas meneliti kedudukan kewangan badan itu.

Semalam, beliau berkata akan sekali lagi membuat pengisytiharan harta ekoran kajiannya sebelum ini, di mana 698 daripada 727 orang mahu ahli politik dan keluarga serta penjawat awam mengisytiharkan kekayaan mereka.

Mac tahun lalu, Rafizi membuat pengisytiharan aset bersih sebanyak RM1.56 juta dengan hutang RM395,937.

Beliau menyatakan jumlah asetnya untuk tahun ini menurun kepada RM953,021.

Selain pengeluaran Tabung Haji, Rafizi menjelaskan sebab penurunan itu apabila beliau menyingkirkan 2 kereta bernilai RM150,000 daripada asetnya, yang sebelum ini dibeli atas namanya tetapi dibayar dan digunakan 2 pekerja.

Selain harta atas namanya, kali ini beliau turut memasukkan senarai harta di bawah nama isteri, iaitu sebuah rumah teres 2 tingkat di Puncak Alam, Selangor bernilai RM300,000 dan barang kemas serta simpanan tidak melebihi RM15,000.

“Isteri saya bekerja di sebuah bank swasta. Rumah teres itu dibayar menggunakan gaji bulanannya sendiri dan diduduki adik beliau. Maka ia tidak memberikan banyak pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, tiada penambahan aset sejak pengisytiharan tahun lalu, selain nilai dividen bagi simpanannya di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau juga mengisytiharkan tidak pernah membuat sebarang tuntutan yang dinikmati ahli Parlimen seperti tuntutan perjalanan, minyak kereta, telefon dan baju istiadat.

Selain itu, beliau turut menegaskan tidak mempunyai sebarang jawatan atau perniagaan yang mampu menjana pendapatan dalam kerajaan.

“Pengisytiharan dibuat di bawah Akta Akuan Berkanun yang bermakna kalau saya menipu atau ada pihak membuktikan perakuan saya tidak betul, saya boleh dijatuhkan hukuman termasuk penjara,” katanya lagi

Tiada ulasan: