Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar dan Azizul Osman
KUALA LUMPUR: 'Jangan berlagak seperti Ahok', itu peringatan Presiden
PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap pemimpin bukan Islam yang
berterusan menolak Rang Undang-undang (RUU) Akta 355.
Beliau juga kesal dengan pemimpin politik yang sengaja menggunakan isu itu demi kepentingan politik masing-masing.
Ahok atau nama sebenarnya Basuki Tjahaja Purnama merupakan Gabenor
Jakarta bertindak menghina agama Islam sehingga mencetuskan demontrasi
jalanan di negara itu.
"Ada ahli-ahli politik bukan Islam yang saya percaya mereka tidak
mewakili masyarakat bukan Islam keseluruhannya, tetapi lebih untuk
mendapatkan 'political mileage' daripada kepentingan awam.
"Kita lihat tuduhan RUU Akta 355 adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah
Syariah yang diletakkan di paras hina masa zaman penjajah, yang perlu
diperkasakan.
"Ia telah ditingkatkan sebanyak dua kali pada 1965 dan 1984 tanpa
mendapat tentangan dari ahli-ahli parlimen bukan Islam di masa itu.
"Malangnya kali ini menunjukkan bagaimana ahli-ahli parlimen dan
politik bukan Islam cuba tunjuk camput tangan terhadap urusan penganut
Islam dan Raja-raja.
"Saya beri peringatan pada mereka supaya jangan berlagak macam Ahok di
Jakarta," katanya di sidang media di Lobi Dewan Rakyat pagi tadi.
Peringatan itu menyusul selepas Hadi menangguhkan pembentangan RUU
Akta 355 di Dewan Rakyat hari ini dengan alasan masih ramai bukan Islam
tidak memahami cadangan pindaan itu.
Dalam pada itu Hadi mengumumkan partinya akan menganjurkan himpunan besar-besaran berkaitan RUU Akta 355 berkenaan.
Namun perincian tentang himpunan itu belum dimuktamadkan lagi buat masa ini.
"PAS akan menganjurkan himpunan aman raksasa mewakili umat Islam
pelbagai parti politik dan NGO termasuk di kalangan bukan Islam yang
menyokong RUU Akta 355 ini bagi membuktikan sokongan mereka.
"Kita tunggu dan lihat," ujar Ahli Parlimen Marang itu lagi.
Sementara itu, Hadi enggan mengulas lanjut berkenaan 'kata dua' yang
diberikan kumpulan NGO Islam terhadap ahli parlimen beragama Islam
terhadap RUU berkenaan.
"Terpulang, itu bukan hak saya," katanya ringkas.
NGO Islam yang berdemonstrasi di pintu utama Parlimen pagi tadi
memberi kata dua kepada Ahli Parlimen beragama Islam sama ada menyokong
pindaan RUU atau ditolak rakyat pada pilihan raya umum akan datang.
Hadi pada hari ini membentangkan kali kedua pembentangan usul Rang
Undang-Undang (RUU) Akta 355, bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah
Syariah, namun memohon untuk menangguhkan penjelasannya pada sidang
Parlimen, Mac tahun depan.
Hadi berkata penangguhan itu terpaksa dibuat memandangkan masih ramai
ahli Parlimen di Dewan Rakyat, sama ada Islam ataupun bukan Islam, yang
tidak memahami mengapa RUU itu perlu disokong.
Pindaan RUU Akta 355 ini dibuat bagi meningkatkan bidang kuasa
Mahkamah Syariah yang selama ini amat terhad iaitu hukuman penjara
maksimum hanya tiga tahun, denda maksimum RM5000 dan hukuman sebatan
maksimum enam kali sahaja.
Melalui pindaan yang dibawa Hadi, jumlah hukuman itu mahu ditingkatkan
menjadi - hukuman penjara maksimum 30 tahun, denda maksimum RM100,000
dan hukuman sebatan maksimum 100 kali sebatan (syarie).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan