HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 November 2016

DAP seru rakyat Sabah tolak semangat wilayah dan perkauman sempit

stephen-wong-konvensyen1

Oleh Hafiz Zainuddin

KOTA KINABALU: Perjuangan meletakkan semula hak Sabah secara adil perlu dilakukan secara kolektif dan bukan dengan menyebar kebencian melalui semangat wilayah dan perkauman sempit.

Semangat wilayah sempit ini malah akan menjarakkan lagi jurang keharmonian rakyat Malaysia selain dijadikan sebagai alat pihak tertentu untuk meraih keuntungan politik semata-mata.

wong-t-fatt
Stephen Wong, Pengerusi DAP Sabah, Ahli Parlimen Sandakan

Ini termasuk tuduhan semberono sebilangan parti-parti tempatan mendakwa hanya mereka sahaja yang mampu mengangkat aspirasi dan perjuangan orang Sabah.

Begitu antara inti ucapan Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt ketika menyampaikan amanatnya di Konvensyen DAP Sabah yang bertempat di Hotel Yaho dekat sini hujung minggu lalu.

Menurutnya, DAP Sabah amat memahami sentimen rata-rata rakyat negeri itu yang berasa ketinggalan dan dianaktiri oleh kerajaan BN khususnya dari segi ekonomi dan pembangunan.

Namun, memomokkan DAP sebagai ‘parti nasional’ dan ‘parti Malaya’ yang mahu menggugat hak-hak Sabah adalah tidak benar dan berniat jahat.

“Barisan pimpinan DAP Sabah di sini kesemuanya ialah orang Sabah yang tulen, kita bangga dengan fikiran, nilai-nilai terbuka dan inklusif selama ini. Kita boleh ‘kupi-kupi’ dengan semua orang dari pelbagai kaum, kita boleh saling bantu-membantu tak kira dia dari masyarakat apa, ia seharusnya dihargai sebagai budaya dan nilai-nilai murni kita.

“Kita mesti berani menolak politik perkauman dan kebencian. Kita tahu bahawa ia tidak akan menyelesaikan masalah yang sebenar dihadapi oleh orang Sabah seperti kemiskinan dan penindasan,” tegasnya.

stephen-wong-konvensyen2

Stephen menegaskan, masalah sebenar yang dihadapi Sabah bukanlah kerana isu ‘parti Malaya’ atau bukan tetapi  berpunca dari pemerintahan BN sendiri.

Lebih menyedihkan katanya, sebilangan parti-parti tempatan juga bersama BN untuk terus mengukuhkan kuasanya di Sabah.

“Banyak parti-parti lokal pernah memerintah Sabah dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi wakil-wakil Sabah ini gagal mempertahankan hak-hak negeri kita sehingga status Sabah dituruntaraf pada tahun 1976 dari satu dari tiga (Sabah, Sarawak dan Semenanjung) kepada salah sebuah dari 13 negeri di Malaysia.

“Hanya DAP ketika itu, yang belum lagi masuk ke Sabah, sudah mempertahankan Sabah di Parlimen pada tahun 1976 dengan membantah pindaan perlembagaan persekutuan tersebut,” katanya.

stephen-wong-konvensyen3 

Selain itu, Stephen menjelaskan bahawa hak minyak dan gas di Sabah juga tergadai bukan kerana DAP, tetapi ketika Sabah ditadbir oleh parti-parti tempatan.

“Pada ketika pemerintahan parti lokal (tempatan) di Sabah, hak minyak dan gas Sabah diserahkan kepada kerajaan persekutuan, hak milik Labuan juga diserahkan kepada kerajaan persekutuan, mereka buka pintu dan bantu UMNO dapatkan kuasa pemerintahan di Sabah sampai hari ini.

“Semua ini berlaku pada ketika pemerintahan parti lokal,” jelas Ahli Parlimen Sandakan itu.

Justeru beliau menyeru supaya rakyat Sabah memilih wadah dan perjuangan parti politik yang benar-benar berjuang demi kepentingan seluruh rakyat dan bukannya kelompok tertentu.

“Kita harus pilih parti yang baik dan ikhlas untuk berjuang demi kepentingan semua rakyat Sabah dan seluruh Malaysia,” ujarnya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: